Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abu Bakar Jais jalankan kuasa, tugas Hakim Besar Malaya
Diterbitkan:  Nov 17, 2025 12:44 PM
Dikemaskini: 5:50 AM

Presiden Mahkamah Rayuan, Abu Bakar Jais, dilantik menjalankan kuasa dan tugas Hakim Besar Malaya bermula Sabtu lalu, sehingga jawatan terbabit diisi secara hakiki.

Ia susulan persaraan Hasnah Hashim minggu lalu.

Surat bertarikh 14 November yang ditandatangani Ketua Hakim Negara, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, memaklumkan bahawa pelantikan itu dibuat selaras Seksyen 9(3)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Hasnah Hashim

Seksyen tersebut membolehkan seorang hakim Mahkamah Persekutuan dilantik untuk memangku jawatan hakim besar Malaya apabila berlaku kekosongan.

Abu Bakar, 63 tahun, yang juga hakim Mahkamah Persekutuan, mula memegang jawatan Presiden Mahkamah Rayuan pada 18 Julai tahun lalu, menggantikan Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara pada 3 Julai tahun yang sama.

Dia memulakan kerjaya kehakimannya sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Julai 2013, sebelum dinaikkan pangkat ke hakim Mahkamah Tinggi pada 2016, Mahkamah Rayuan pada 2018, dan Mahkamah Persekutuan pada 2023.

Abu Bakar turut menganggotai sebahagian daripada panel Mahkamah Persekutuan pada 2023 yang menolak permohonan Najib Razak untuk menyemak semula sabitan bersalah, hukuman penjara, dan denda berhubung salah guna kuasa RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS