Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes disiplin di sekolah: Hukuman rotan bukan segala-galanya, kata KPM

PARLIMEN | Hukuman rotan secara terbuka tidak sepatutnya menjadi kaedah pilihan dalam menangani isu disiplin pelajar, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dalam sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Abdul Ghani Ahmad (PN-Jerlun), Wong menegaskan kerajaan telah meneliti bagaimana hukuman rotan terbuka di sekolah tidak terbukti berkesan dan boleh meningkatkan risiko pelajar mengalami kemurungan dan masalah kesihatan mental lain.

“Kementerian Pendidikan ingin menegaskan rotan bukanlah segala-galanya. Ramai mencadangkan agar kita kembalikan rotan di sekolah. Namun sebenarnya peruntukan untuk rotan pelajar pun belum dimansuhkan sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, Abdul Ghani mencadangkan agar Kementerian Pendidikan meneliti semula pelaksanaan rotan secara bersyarat, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pendidikan di bawah Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959 dan Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003.

Pekeliling tahun 2003 itu membataskan sebatan kepada pelajar lelaki sahaja dan hanya untuk kesalahan serius. 

Wong Kah Woh

Ia juga melarang rotan dijalankan secara terbuka, dengan had tertentu terhadap bilangan rotan, kaedah sebatan, serta memerlukan rekod yang ketat oleh pihak pentadbiran sekolah.

Hukuman rotan juga hanya boleh dilakukan oleh pihak berkuasa tertentu di sekolah dan pelajar perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum hukuman dikenakan.

Perkembangan kanak-kanak terjejas

Wong berkata kerajaan tidak bercadang untuk menilai semula garis panduan sedia ada atau memperkenalkan semula hukuman rotan secara terbuka, meskipun mengakui peningkatan dalam kes jenayah ganas di sekolah mutakhir ini.

Dia juga membangkitkan Suhakam secara konsisten menggesa pemansuhan hukuman rotan di sekolah, dengan dapatan menunjukkan bahawa tindakan disiplin berbentuk hukuman fizikal boleh membawa kesan negatif terhadap perkembangan mental dan fizikal pelajar.

“Jadi bagaimana kita boleh mengambil kira perlindungan yang disarankan Suhakam, dan pada masa sama melindungi guru dan pelajar kita dengan memastikan mereka mematuhi garis panduan sedia ada?

“Inilah pertimbangan penting yang perlu diteliti sebelum membincangkan pindaan kepada peraturan sedi ada,” kata Wong lagi.

Dia turut menegaskan yang kerajaan memandang serius peningkatan kes buli ganas dan jenayah seksual dalam kalangan remaja, namun pada masa sama mencadangkan agar pihak sekolah terus bergerak dalam kerangka peraturan sedia ada.

Katanya, kerajaan juga tidak bercadang menempatkan pegawai penguat kuasa yang telah bersara untuk mengendalikan isu disiplin di sekolah seperti dicadangkan Ghani.

Sebaliknya, katanya lagi, kementerian merancang untuk melaksanakan program khidmat masyarakat bagi pelajar yang dikenakan tindakan disiplin menjelang awal 2026.

Dia berkata program itu bertujuan membentuk serta memulihkan pelajar supaya diberi “peluang kedua”, dan turut melibatkan garis panduan untuk ibu bapa bagi meningkatkan kesedaran terhadap salah laku anak mereka.

Sokongan untuk hukuman rotan

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berpendapat bahawa hukuman rotan di sekolah wajar dikembalikan, namun perlu dilaksanakan dengan syarat yang ketat.

Namun dia menegaskan itu hanyalah pandangan peribadinya dan belum menjadi dasar kerajaan, dan ia perlu diperhalusi melalui libat urus menyeluruh antara Kementerian Pendidikan dan pihak berkepentingan, termasuk Suhakam.

Semasa perbahasan Belanjawan 2026 baru-baru ini, beberapa ahli Parlimen – termasuk Penasihat DAP Lim Guan Eng (PH-Bagan), Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), dan Azli Yusof (PH-Shah Alam) – menyokong cadangan hukuman rotan terhadap pelajar yang melakukan salah laku.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS