Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lori lebih muatan: Loke tetap tegas walau berdepan tekanan

PARLIMEN | Menteri Pengangkutan Anthony Loke (PH–Seremban) menegaskan Putrajaya akan meneruskan tindakan tegas terhadap lori terlebih muatan, meskipun berdepan “tekanan” dan “ugutan” yang cuba melembutkan pendekatan kementeriannya.

Berucap di Dewan Rakyat hari ini, Loke menempelak beberapa ahli parlimen — termasuk daripada blok penyokong kerajaan — yang menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan penguatkuasaan kementeriannya, sambil menuduh mereka “bertindak sebagai jurucakap” kepada pengusaha lori yang membawa muatan berlebihan.

“Ini bukan isu politik, ini satu isu keselamatan yang saya harap semua ahli yang berhormat, tak kira lah backbenchers ataupun pembangkang, sama-sama kita memberangi isu ini kerana isu ini ialah isu nyawa manusia.

"Ini bukan isu dollar and cent, ini isu nyawa manusia,” katanya ketika penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa.

Diiringi tepukan daripada barisan ahli parlimen lain, Loke berikrar tidak akan “berkompromi” atau “berunding” untuk mengendurkan tindakan kementerian, walaupun tekanan datang daripada pelbagai pihak.

Dia menegaskan pendirian tegas itu penting kerana sebelum ini inisiatif sama gagal apabila menteri pengangkutan terdahulu membuat pusingan-U apabila diasak pihak industri.

“Saya nak berterus terang mengatakan bahawa saya ada sedikit tekilan dan dukacita dengan pandangan alih-alih yang berhormat, termasuk daripada backbenchers.

“Seolah-olah mereka ini cuba memberikan perspektif ataupun cuba menjadi jurucakap kepada mereka-mereka yang membawa muatan berlebihan ini.

“Dalam perkara ini, saya berharap semua ahli yang berhormat dapat menyokong usaha kerajaan, menyokong usaha Kementerian Perangkutan untuk perangi satu isu yang berpuluh tahun ini," katanya.

“Jadi saya harap, sama-sama kita bekerjasama untuk pastikan isu overloading ini dapat diselesaikan. Kalau kita dapat bertahan, bertahan berbulan-bulan, apa tekanan datang pun, kita bertahan. Semua ahli yang berhormat sokong saya. Saya yakin isu ini akan kita selesaikan. Tak ada siapa berani nak ugut kita.

"Betul ada ugutan. Nak demo depan parlimen nanti. Hari Rabu. Mungkin dah ada lori-lori park dekat depan. Saya bagi notice dulu. Nanti ahli parlimen tak boleh masuk parlimen. Mungkin dia ada park dekat depan parlimen itu.

"Tapi ugutan macam itu, kalau kita tunduk kepada mereka, kita tak payah govern lah. Betul tak? Kita tak payah govern kalau kita tunduk kepada ugutan macam itu,” kata Loke.

Sebelum itu, Ahli Parlimen PKR Lee Chean Chung (PH–Petaling Jaya) bertanya apakah “langkah soft-landing” yang boleh diambil bagi memastikan tindakan keras terhadap lori terlebih muatan tidak membebankan industri dan orang ramai.

Dia merujuk kebimbangan bahawa kos pembinaan serta harga rumah dan bangunan mungkin meningkat, sambil menjelaskan kenaikan kos logistik akan meningkatkan kos perniagaan, kadar inflasi serta menyumbang kepada kesesakan trafik.

Ahli Parlimen DAP V Ganabatirau (PH–Klang) turut menyuarakan pandangan sama, menggesa agar pengusaha lori diberi masa mencukupi dan sokongan kewangan yang sesuai untuk menyesuaikan diri dengan “peraturan baharu”.

Dalam ucapannya, Loke menegaskan peraturan itu sebenarnya bukan undang-undang baru kerana para pengusaha sudah lama mengetahui had muatan mereka — namun terus melanggarnya.

“Saya nak tegaskan dalam Dewan Yang Mulia ini, ini bukannya peraturan baru, ini bukannya undang-undang baru. Mereka tahu berapa BDM mereka, berat dalam muatan mereka berapa.

Tetapi ini adalah satu fenomena yang telahpun wujud dalam negara kita ini berdekad-dekad, bertahun-tahun isu overloading ini. Isu overloading ini bukannya perkara baru.

Ahli-ahli yang berhormat jangan bercakap seolah-olah kita diperkenalkan dasar baru, perkenalkan peraturan baru.

"Saya hanya menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sediada yang telah dilanggari oleh pengusaha-pengusaha ini berpuluh tahun,” katanya, sambil memberi jaminan bahawa kerajaan tidak berniat “memangsakan” pemandu lori.

Dia berkata kementerian mahu menangani isu yang berpunca daripada “syarikat besar” yang mengenakan kadar sewa murah dan bayaran rendah kepada pemandu dan pengusaha lori kecil.

Dia menegaskan kerajaan tidak akan berdiam diri jika mana-mana industri menaikkan harga tanpa alasan munasabah. Pada masa sama, katanya kadar sewa dan bayaran kepada pengusaha kecil perlu diselaraskan kerana golongan itu — termasuk pemandu lori — selama ini yang paling terkesan.

Menurutnya, apabila penguatkuasaan dilakukan dengan ketat, syarikat besar wajib menyesuaikan struktur bayaran mereka dan memastikan pemandu menerima imbuhan yang adil.

Loke menjelaskan jika pengusaha kecil dipaksa membawa muatan berlebihan, mereka bukan sahaja terdedah kepada risiko keselamatan, malah lori cepat rosak, kemalangan meningkat dan jalan raya mudah berlubang.

“Kerana jangka masa panjang dari segi manfaat kepada negara, banyak kalau kita boleh selesaikan isu ini. Yang pertamanya, pemandu-pemandu ini, dia lebih tenang. Tak perlulah tiap-tiap hari dia takut kena penguasa.

"Saya tahu, dulu ada orang cakap, dia kena sogok lah, kena pau lah. Tiap-tiap bulan kena ada sogok berapa supaya overloading itu tak akan dikenakan saman dan sebagainya.

"Kalau bagi kerja sama macam itu, tak ada overloading, tak payahlah pau. Betul tak,” tambahnya.


Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Dania Kamal Aryf, Shakira Buang


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS