Sebuah gabungan penduduk dan kumpulan masyarakat sivil yang membantah cadangan pembinaan insinerator sisa-ke-tenaga (WTE) Batu Arang mengecam Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, kerana didakwa enggan mendengar bantahan mereka sejak dua tahun lalu.
Bercakap di luar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam, jurucakap Rangkaian Rawang Tolak Insinerator (RTI), Abdul Hanan Abd Mokti berkata penduduk telah menggunakan semua saluran rasmi bagi menyuarakan bantahan mereka.
“Perhimpunan ini diadakan kerana suara penduduk mengenai risiko projek insinerator telah diketepikan, kebimbangan mengenai kesihatan dan alam sekitar diabaikan.
“Penduduk sudah menyatakan bantahan melalui pelbagai saluran rasmi, namun maklum balas dan bukti yang dikemukakan masih tidak diberi perhatian sewajarnya,” katanya kepada media di hadapan bangunan SUK.

Protes tersebut yang disertai RTI, Hand-In-Hand Batu Arang, Greenpeace Malaysia dan penduduk terlibat, diadakan bagi menyerahkan memorandum kepada pihak berkepentingan termasuk Amirudin, Adun Rawang Chua Wei Kiat dan Adun Kuang Rafiq Abdullah.
Kedua-dua Adun hadir sendiri namun Amirudin hanya menghantar wakil — tindakan yang mengecewakan peserta protes yang menuntut pertemuan terus dengan menteri besar.
“Kami sudah menunggu dua tahun untuk beliau memberi respons,” kata Hanan, menyifatkannya sebagai “sangat mengecewakan”.
Memorandum itu menuntut agar semua tindakan berkaitan projek dihentikan serta-merta, satu pertemuan rasmi antara Amirudin dan penduduk, serta ketelusan dan penyertaan awam yang lebih bermakna dalam semua proses berkaitan risiko kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.
Pemimpin negeri dikritik kerana kurang ketelusan
Menambah kekecewaan penduduk, Hanan mendakwa mereka hanya mengetahui laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) ditolak selepas mencarinya di internet.
“Kami mendapat maklumat bahawa laporan EIA ini belum diluluskan. Kami tidak tahu kenapa ia ditolak.
“Adakah sebabnya kritikal atau tidak? Jika kritikal, bagus. Tapi jika tidak, laporan itu pasti akan disemak semula dan dihantar kembali,” katanya.

RTI sebelum ini menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) melanjutkan tempoh komen awam bagi EIA berkenaan, dengan alasan tempoh konsultasi tidak mencukupi, akses terhad kepada dokumen, dan kandungan laporan terlalu teknikal.
Kumpulan itu juga mengkritik Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kerana gagal mempamerkan EIA tersebut secara terbuka seperti yang diwajibkan.
Dalam hal berasingan, pengerusi kumpulan Pemuliharaan Warisan dan Alam Batu Arang, Ahmad Fais Azmir mempersoalkan peranan Exco Selangor, Ng Suee Lim, dalam projek itu kerana didakwa bertentangan dengan portfolio pelancongannya.
“Bagaimana dia (Ng) boleh bina Galeri Warisan Batu Arang, mempromosikan produk Gombak dan Hulu Langat, tetapi pada masa sama membawa masuk sampah ke Batu Arang?
“Di mana logiknya? Dia bangunkan sektor pelancongan, tetapi kini mahu membawa sampah ke destinasi pelancongan,” katanya.
RTI sebelum ini juga menegaskan 22,017 saman tertunggak milik Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) Waste Management sebagai bukti bahawa GLC itu, yang dipengerusikan Ng, tidak berupaya mengurus sebuah insinerator.
Bandar warisan terancam
Loji WTE itu dijangka menjana sehingga 48 megawatt elektrik apabila siap kelak. Namun, untuk mencapai kapasiti tersebut, ia akan memproses sisa daripada enam pihak berkuasa tempatan — hampir separuh daripada jumlah sisa Selangor.
Hanan menyindir bahawa ini sekaligus “menaikkan martabat” Batu Arang sebagai “hab sampah negeri”.
Dia menganggarkan sekurang-kurangnya 400,000 penduduk di Batu Arang, Bandar Tasik Puteri, Kota Puteri, Bandar Seri Coalfields, Kuang, dan Bandar Country Homes mungkin terjejas — menjadikannya isu kesihatan dan keselamatan awam yang mendesak.
Seorang penduduk, Rosnah Ibrahim, berkata dia telah tinggal di kawasan itu selama 40 tahun dan sedih memikirkan kemungkinan alam semula jadinya hilang akibat projek tersebut.
“Waktu pagi boleh dengar burung berkicau. Memang tenang.
“Kami sudah ada rumah, dan sudah tinggal begitu lama. Tiba-tiba keadaan jadi begini, ke mana kami nak pergi?” soalnya.
Wanita berusia 61 tahun yang menghidap asma ituturut bimbang akan kesihatannya jika insinerator dibina.
Risiko kebakaran bawah tanah
Penduduk turut memberi amaran bahawa struktur geologi Batu Arang, yang terbentuk daripada bekas lombong arang batu terbuka menjadikan tanahnya tidak sesuai bagi menampung insinerator besar.
RTI berkata jalur arang batu sepanjang hampir 50km di bawah kawasan itu meningkatkan risiko kebakaran bawah tanah atau letupan, terutama dengan haba tinggi daripada operasi WTE.
Mereka berhujah bahawa tanah tidak stabil serta sejarah kawasan itu sebagai bekas tapak perlombongan mewujudkan risiko jangka panjang yang tidak boleh diterima kepada penduduk.
