Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GRS janji had tempoh KM Sabah, tubuh syarikat pelaburan negeri
Diterbitkan:  Nov 17, 2025 10:16 PM
Dikemaskini: 3:53 PM

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan manifestonya bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17, merangkumi satu visi, empat tonggak dan enam belas strategi pembangunan sebagai hala tuju negeri untuk lima tahun akan datang.

Antara janji utama ialah menubuhkan syarikat pelaburan negeri (sovereign wealth fund) serta menghadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal.

Di bawah tonggak pertama, komitmen GRS termasuk pelaksanaan segera hak-hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 — termasuk tuntutan 40 peratus hasil persekutuan — serta usaha mendapatkan autonomi wilayah.

Tonggak Sabah Maju ke Hadapan pula merangkumi janji menubuhkan dana kekayaan berdaulat Sabah, dengan sumbangan tahunan diambil daripada tuntutan 40 peratus hasil. GRS juga berhasrat meningkatkan kebolehpasaran kerja dan pendapatan rakyat Sabah.

Sementara itu, di bawah tonggak Sabah Makmur, gabungan berkenaan berjanji menyelesaikan isu infrastruktur yang berlarutan, menambah bekalan air, elektrik dan pembinaan jalan raya. Ia turut menjanjikan reformasi undang-undang dan institusi, termasuk had tempoh jawatan ketua menteri.

Tonggak terakhir mengenai perpaduan pula berjanji memastikan inklusiviti, akses sama rata dan peluang untuk semua rakyat Sabah, sambil meraikan kepelbagaian negeri tersebut.

Ketua menteri sementara, Hajiji Noor selaku ketua GRS berkata manifesto itu meletakkan Sabah pada “era baru yang lebih baik” selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Manifesto ini merangkumi pembangunan merentasi pelbagai sektor — ekonomi, infrastruktur, keselamatan, pendidikan, pembangunan modal insan, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat — termasuk tuntutan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

“Sesungguhnya perjuangan GRS adalah oleh rakyat dan untuk rakyat, menuju Sabah yang maju dan makmur,” katanya lagi.

Hajiji turut menyatakan keyakinan bahawa rakyat Sabah akan memberi mandat kukuh kepada GRS.

“Dengan rangka manifesto yang lebih komprehensif ini, berasaskan komitmen ke arah Sabah yang progresif, makmur dan bersatu, saya yakin GRS akan mendapat sokongan padu rakyat, memenangi 55 kerusi yang kami tandingi, dan kembali membentuk kerajaan negeri Sabah, insya-Allah,” katanya.

GRS bertanding di 55 daripada 73 kerusi. Daripada jumlah itu, ia berentap dengan bekas sekutu, BN, di 44 kerusi.

GRS juga bertembung dengan sekutu semasa, Pakatan Harapan, di empat kerusi.

Gabungan itu kini dibayangi dakwaan skandal rasuah besar, dengan ahli perniagaan Albert Tei mendakwa memberi rasuah kepada beberapa pemimpin gabungan tersebut untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral.

Daripada mereka yang dikaitkan, sembilan termasuk Hajiji bertanding dalam pilihan raya kali ini.

Hajiji tidak dituduh menerima rasuah, tetapi salah seorang penyandang yang terlibat, timbalan ketua menteri sementara III, Shahelmey Yahya pernah memberi gambaran bahawa ketua menteri sementara itu mengetahui jumlah ‘kickback’ yang diterima setiap wakil rakyat.

Sementara itu, penyandang Sindumin, Yusof Yacob, mendakwa Hajiji telah “menandatangani” satu “urusan” antara Tei dan dirinya (Yusof).

Bagaimanapun, SPRM membebaskan Hajiji daripada sebarang salah laku.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS