Paling Popular
Terkini

Setiap tahun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan ratusan penjawat awam kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah dan sindiket berkaitan warga asing.

Namun, ada persoalan besar mengenai sejauh mana keberkesanan sistem integriti, kawalan dalaman dan pengawasan dalam jabatan kerajaan.

Sebagai contoh, baru-baru ini terdapat kes melibatkan seorang pegawai rendah imigresen gred KP1 di Johor yang dua kali ditahan SPRM dalam tempoh lima bulan atas kesalahan sama, kekal berkhidmat sebagai biasa tanpa pendakwaan.

Pegawai itu–dirujuk sebagai A–didakwa terlibat dalam kegiatan counter settings atau manipulasi sistem di pintu sempadan bagi membolehkan kemasukan warga asing secara tidak sah ke Malaysia.

Malaysiakini tidak mendedahkan identiti suspek sehinggalah dia dituduh di mahkamah.

Penahanan pertama didakwa berlaku pada April lalu apabila unit integriti imigresen menahannya di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor.

Dia kemudian diserahkan kepada SPRM Johor untuk siasatan lanjut. 

Namun, ketika masih dalam siasatan, pegawai itu didakwa ditempatkan semula di terminal sama–langkah yang menimbulkan persoalan tentang tatacara pentadbiran dan kawalan Jabatan Imigresen (JIM).

Beberapa bulan kemudian, dia didakwa kembali terlibat dalam kegiatan sama, kali ini bersama seorang kartel tempatan dikenali sebagai "Tuan E". 

Tuan E merupakan adik kepada DK seorang kartel yang sangat berpengaruh di kalangan agensi penguatkuasa khususnya di Johor dan Putrajaya.

Sindiket baru itu dikatakan hanya tertumpu kepada warga Indonesia yang disenarai hitam daripada memasuki Malaysia.

Pada 24 September lalu, SPRM Johor sekali lagi menahan A bersama sekumpulan individu lain dalam operasi serentak di tiga lokasi terminal feri Pasir Gudang, Muar dan Melaka.

Mereka disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah bagi memudahkan kemasukan warga Indonesia ke negara ini melalui laut.

Menurut sumber terdekat sindiket berkaitan, pegawai terbabit menggunakan musim cuti sekolah dan perayaan sebagai waktu sesuai untuk membawa masuk warga Indonesia secara tidak sah.

Dia didakwa dibantu oleh seorang pengusaha feri di Pasir Gudang, dirujuk sebagai B.

"Kemasukan dibuat ketika sistem imigresen tergendala selama lebih empat hari selepas wayar sistem dipotong dengan sengaja dalam bilik server (pelayan)," kata sumber itu kepada Malaysiakini dengan syarat tidak mendedahkan identitinya.

Namun, menurut sumber itu, B tidak ditahan walaupun dipercayai memainkan peranan utama dalam sindiket tersebut.

Menurut sumber SPRM pula, pegawai-pegawai terlibat dipercayai menerima rasuah melebihi RM500,000 daripada ejen dan runner yang turut ditahan. 

SPRM juga merampas wang tunai kira-kira RM50,000, mata wang asing 71 juta rupiah (IDR) (kira-kira RM17,500), sebuah Toyota Vellfire bernilai RM115,000 dan motosikal Italjet Dragster bernilai RM30,000.

Selain itu, SPRM memohon untuk membekukan 25 akaun bank milik 13 individu dengan nilai keseluruhan RM1.2 juta.

Walaupun operasi dikenali sebagai Ops Setting itu berjaya menumpaskan sindiket, timbul tanda tanya besar mengapa seorang pegawai yang pernah ditahan boleh kembali berkhidmat di tempat sama dan mengulangi kesalahan serupa dalam masa yang singkat.

Kes terpencil?

Bagaimanapun, apa yang melibatkan A dan B mungkin tidak boleh dikatakan kes terpencil.

Semakan, Malaysiakini mendapati beberapa kes SPRM melibatkan pegawai imigresen tidak berakhir dengan pendakwaan di mahkamah.

Carta di atas  menunjukkan lebih 100 pegawai imigresen ditahan SPRM sejak 2020 menerusi beberapa operasi besar, namun kurang daripada 10 individu didakwa di mahkamah, manakala lebih 90 peratus kembali bertugas tanpa tindakan serius.

Malaysiakini telah menghubungi SPRM dan JIM untuk mendapatkan ulasan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, seorang pegawai SPRM Johor memberitahu bahawa agensi itu akan mengadakan pertuduhan dalam masa terdekat.

"Ada yang akan dituduh dalam masa terdekat," katanya yang enggan dinamakan.

Pegawai itu memberitahu bahawa tugas dan bidang kuasa SPRM cuma menyiasat dan mengemukakan hasil siasatan kepada pihak pendakwaan. 

"Tindakan dan keputusan untuk menugaskan kakitangan yang telah ditangkap oleh SPRM adalah terletak kepada budi bicara serta pertimbangan jabatan atau agensi terbabit," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS