Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Parkir dikait kerabat: MP tuntut penjelasan kerajaan S'gor

Seorang ahli parlimen PKR menggesa kerajaan Selangor mengeluarkan penjelasan rasmi berhubung laporan yang mengaitkan seorang kerabat diraja dengan syarikat terlibat dalam inisiatif penswastaan parkir tepi jalan di negeri itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata kerajaan negeri perlu memberi maklum balas untuk menjawab persoalan mengenai “kesesuaian” penglibatan mana-mana individu, termasuk kerabat diraja, dalam skim Selangor Intelligent Parking (SIP).

“Saya percaya saluran yang betul ialah kerajaan negeri memberikan penjelasan penuh dan rasmi.

“Inilah cara terbaik untuk mengelakkan salah faham dan memastikan tiada pihak, termasuk institusi diraja, menjadi mangsa andaian tidak wajar,” katanya kepada Malaysiakini.

Dia mengulas pertanyaan susulan laporan Malaysiakini mengenai pemilikan pegangan 16.5 peratus Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dalam Selmax Sdn Bhd — syarikat yang setakat ini menerima tiga konsesi di bawah SIP.

Berdasarkan semakan Malaysiakini, pewaris takhta Sultan Sharafuddin Idris Shah itu memegang kepentingan berkenaan melalui dua syarikat pegangan lain: Tanah Perwira Sdn Bhd dan Greyscale Holdings Sdn Bhd.

Ditubuhkan pada Mac tahun lalu, Tanah Perwira ialah pemegang saham minoriti dalam Selmax — anak syarikat Itmax System Bhd — dengan syarikat tersenarai itu menguasai 70 peratus daripada tiga juta saham Selmax.

Modal saham Tanah Perwira diterbitkan RM100 pula dimiliki sepenuhnya oleh Greyscale Holdings, sebuah syarikat berusia tiga tahun yang mana Tengku Amir Shah menguasai 55 peratus pegangan.

Dokumen asas tak boleh akses

Tiga PBT yang telah menganugerahkan konsesi kepada Selmax bagi pengurusan sistem SIP ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Setakat artikel ini diterbitkan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) merupakan satu-satunya PBT dalam fasa semasa SIP yang masih belum menyertai pengaturan bersama Selmax.

Di bawah perjanjian konsesi dengan Selmax, PBT berkenaan diwajibkan berkongsi hasil kutipan parkir — termasuk bayaran parkir, pas bulanan, zon dua jam dan kompaun — dalam nisbah 50-40 peratus dengan syarikat itu, dengan bahagian lebih besar diterima Selmax.

Baki 10 peratus pula diperuntukkan kepada Rantaian Mesra Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) yang menguruskan pelaksanaan SIP.

Apabila ditanya pandangannya mengenai laporan tersebut, Lee menegaskan adalah penting untuk tidak “berspekulasi atau membuat kesimpulan” tanpa akses kepada maklumat lengkap dan tepat, sambil menambah bahawa ketelusan hanya akan mengukuhkan kepercayaan awam.

“Ini bukan soal mensasarkan mana-mana individu atau institusi, tetapi memastikan tadbir urus yang baik dan melindungi kepentingan awam.

“Tanpa ketelusan, mustahil untuk menilai secara adil isu berkaitan struktur syarikat, potensi konflik kepentingan, atau dakwaan hubungan dengan anggota kerabat diraja,” katanya.

Menekankan bahawa ketelusan dan proses sewajarnya perlu diutamakan tanpa mengira siapa pihak berkepentingan, Lee berkata ketika ini dokumen asas berkaitan skim SIP pun tidak boleh diakses.

Bulan lalu, Lee mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor menolak permohonan seorang penduduk untuk mengakses dokumen berkaitan inisiatif SIP.

Dia berkata penduduk itu membuat permohonan di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011, namun ditolak atas alasan dokumen berkenaan diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Kritikan serupa turut disuarakan PSM awal bulan ini, apabila ahli jawatankuasa pusatnya, Gandipan Nantha Gopalan menyoal jenis maklumat yang dianggap perlu “dilindungi” di bawah OSA.

Sebelum pelancarannya, SIP menerima bantahan kuat daripada Lee, beberapa ahli parlimen lain serta kumpulan penduduk dan NGO.

Ketika dihubungi, setiausaha akhbar Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari — Jay Jay Denis — berkata dia “tidak berada dalam kedudukan untuk menjawab dakwaan penglibatan pihak-pihak” seperti yang dilaporkan Malaysiakini.

Bagaimanapun, dia memaklumkan bahawa cadangan bagi SIP berlangsung selama lapan bulan bermula Januari 2025 dan dijalankan secara terbuka melalui proses permintaan cadangan (RFP) yang dikendalikan MBI.

Katanya daripada 26 syarikat yang mengambil bahagian pada peringkat awal, hanya tiga dipanggil semula untuk membentangkan cadangan terperinci.

“Syarikat yang akhirnya dipilih MBI mempunyai rekod prestasi mengendalikan sistem parkir di Johor dan juga merupakan syarikat tersenarai awam.

“Selmax ialah pengendali sistem yang bertanggungjawab meningkatkan infrastruktur teknologi dan operasi penguatkuasaan melalui pelaburan mereka — tanpa PBT perlu menambah perbelanjaan bagi infrastruktur atau penguatkuasaan,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS