Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aliran gesa UTM tarik balik pekeliling persembahan kebudayaan
Diterbitkan:  Nov 18, 2025 11:34 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Kumpulan hak asasi manusia Aliran menggesa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menarik balik arahan yang dikenakan berhubung sekatan ke atas persembahan kebudayaan di pusat pengajian tinggi itu.

Aliran mendakwa arahan tersebut bercanggah dengan peruntukan perlembagaan mengenai kepelbagaian dan keterangkuman dalam masyarakat Malaysia.

"Larangan ini secara langsung bercanggah dengan penegasan UTM bahawa ia menghormati dan meraikan perpaduan serta kepelbagaian etnik, agama dan budaya yang membentuk komuniti kampusnya," kata NGO tersebut.

Menurut pekeliling yang tular di media sosial, UTM menetapkan bahawa persembahan budaya yang melibatkan lelaki dan perempuan tidak dibenarkan.

Persembahan oleh kumpulan wanita pula hanya boleh ditonton penonton wanita. Malah irama muzik yang digunakan mestilah “lembut, berunsur Melayu dan bersesuaian”.

Universiti itu turut mengharamkan persembahan kumpulan yang mempunyai “unsur budaya asing” daripada membuat persembahan di kampus melainkan ia menerima perkenan naib canselor.

Walaupun berdepan kritikan, UTM berkata pusat pendidikan terbabit komited terhadap nilai-nilai kepelbagaian dan keterangkuman "selaras dengan Perlembagaan Persekutuan."

Universiti itu berkata mereka menghormati – malah meraikan – perpaduan serta kepelbagaian etnik, agama, dan budaya yang membentuk komuniti kampusnya.

Untuk rekod, UTM pada Jun 2021 pernah membatalkan ceramah dalam talian yang menampilkan penari klasik India popular, Ramli Ibrahim, hasil mesyuarat dengan pusat Islam mereka dan menganggap subjek seni tari silang budaya itu tidak sesuai.

Aliran yang tidak berpuas hati dengan penjelasan garis panduan itu mendakwa ketetapan UTM itu kurang jelas dan kurang meyakinkan.

NGO juga mempersoalkan siapa yang menentukan apa yang dianggap “lembut, berunsur Melayu dan bersesuaian".

"Larangan berkaitan jantina dan pemisahan penonton ini amat membimbangkan. Ia mendiskriminasi wanita dengan mengehadkan penyertaan mereka dan peluang setara dalam seni persembahan.

"Peraturan ini juga boleh menyisihkan wanita daripada terlibat dalam pementasan, drama atau persembahan yang tidak termasuk dalam takrifan tempatan yang sangat sempit," katanya.

Aliran juga berhujah arahan itu akan mendiskriminasi bukan sahaja komuniti minoriti tetapi juga Melayu sendiri.

Kumpulan itu menegaskan bahawa tarian tradisional Melayu sering menampilkan penari lelaki dan perempuan membuat persembahan bersama.

"Persembahan budaya Melayu oleh kumpulan wanita pula mungkin dihadkan kepada penonton wanita sahaja, seterusnya mengubah sifat kebersamaan yang menjadi asas budaya tersebut," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS