Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertembungan dengan Pandikar tak menjadi, Arsit ‘ghaib’ di acara GRS
Diterbitkan:  Nov 18, 2025 12:13 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

PRN SABAH l Pertembungan yang dijangka antara presiden Usno, Pandikar Amin Mulia, dan pemimpin GRS, Arsit Sedi, tidak menjadi apabila Arsit tidak hadir pada pelancaran manifesto GRS semalam.

Kedua-dua mereka dijangka bertembung selepas rakaman audio bocor menunjukkan Pandikar mencabar Arsit untuk bersemuka “pada 17 November”.

Pelancaran manifesto itu berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu.

Ketika dihubungi, Arsit hanya menjawab: “Saya di kawasan.”

Arsit merupakan pemimpin dalam Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), parti komponen kerajaan sementara GRS.

Dia sebelum ini bertanding di Petagas pada PRN 2020 ketika masih bersama Bersatu.

Hubungan antara Arsit dan Pandikar tegang selepas mesej Arsit dalam kumpulan WhatsApp GRS – yang menggesa pengundi “pecahkan calon suami isteri tamak” – tersebar.

Mesej itu merujuk kepada Pandikar dan isterinya, Diana Diego, yang masing-masing bertanding di Pintasan dan Sekong.

Pandikar kemudian membayangkan Arsit mungkin telah menyertai Upko selepas insiden mesej bocor itu, namun Arsit menafikannya.

Pandikar Amin Mulia

Spekulasi timbul berikutan beberapa gambar Arsit duduk bersama pemimpin Upko tular di media sosial.

Menurut Arsit, dia hadir ke majlis itu sebagai pengerusi sebuah persatuan peladang, dan menghormati Ewon Benedick kerana presiden Upko itu pernah banyak membantunya ketika menjadi menteri pembangunan koperasi.

Setiausaha Agung Upko, Nelson Anggang, turut mengesahkan Arsit tidak menyertai parti itu.

Ditanya jika dia sedia berdamai dengan Pandikar, Arsit menegaskan bdirinya tiada dendam peribadi.

“Saya tiada masalah dengan sesiapa. Saya cuma terjemahkan perasaan netizen.”

Arsit menambah kekecewaannya juga berpunca daripada tindakan calon Pakatan Harapan di Petagas yang meminta bantuan dalam kempen mereka yang dia keberatan berbuat demikian.

“Sekali lagi, calon PH minta tolong, macam mereka dikawal orang ‘Malaya’,” katanya.

Setakat laporan ini, Pandikar masih belum memberi sebarang respons.

Pilihan raya Sabah ditetapkan pada 29 November ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS