Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penglibatan SU agung FAM, 2 ejen timbulkan kebimbangan serius - Fifa
Diterbitkan:  Nov 18, 2025 12:16 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) melancarkan siasatan rasmi terhadap operasi dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ini berlaku selepas FAM dan tujuh pemain "warisan" dihukum oleh Fifa pada September.

Fifa juga berkata akan siasat tiga individu yang berkaitan dengan kes itu, iaitu setiausaha agung FAM yang digantung, Noor Azman Rahman, dan dua ejen berlesen Fifa – Nicolás Puppo dan Frederico Moraes.

“Penglibatan mereka menimbulkan kebimbangan serius yang memerlukan penelitian menyeluruh,” kata jawatankuasa rayuan Fifa dalam laporannya yang dikeluarkan semalam.

Pada September, Fifa kenakan denda 350,000 Swiss francs (RM1.9 juta) kepada FAM.

Tujuh pemain – Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal, dan Hector Hevel – masing-masing didenda 2,000 Swiss francs.

Menurut Fifa, tujuh pemain “warisan” itu tidak mempunyai datuk atau nenek yang lahir di Malaysia seperti yang didakwa.

Bagaimanapun, FAM menolak dakwaan meminda dokumen, dengan berhujah bahawa Fifa tidak memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya tentang pemalsuan.

FAM kemudian failkan rayuan terhadap sekatan itu, mendakwa terdapat kesilapan teknikal, tetapi ditolak oleh jawatankuasa rayuan Fifa pada 3 November.

Pada 17 Oktober, FAM menggantung Noor Azman dan mengumumkan siasatan bebas.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, yang membantu pasukan kebangsaan, bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan itu.

Baginda sebaliknya menegaskan bahawa semua pihak terlibat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab terhadap isu itu yang menggemparkan bola sepak negara baru-baru ini.

Sementara itu, Fifa berkata siasatannya bertujuan, antara lain, mengenal pasti individu yang bertanggungjawab memalsukan dokumen kerakyatan.

“Kami akan nilai kecukupan dan keberkesanan pematuhan dalaman dan mekanisme tadbir urus FAM, dan tentukan sama ada tindakan tatatertib tambahan diperlukan terhadap pegawai FAM,” tambah Fifa.

‘Kesalahan jenayah’

Memandangkan keseriusan situasi, badan sukan dunia itu nyatakan akan mengarahkan sekretariatnya untuk maklumkan pihak berkuasa berkaitan di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia.

“Pemalsuan merupakan kesalahan jenayah dalam bidang kuasa ini, dan sangat penting pihak berkuasa berkaitan dimaklumkan supaya siasatan dan prosiding jenayah yang sesuai boleh diteruskan.”

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS