Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah pembayaran RM1.1 juta kepada ibu model Belanda, Ivana Smit, atas kecuaian polis dalam menyiasat kematiannya pada 2017.
Panel diketuai Hakim Mohamed Zaini Mazlan sebulat suara membenarkan penangguhan itu selepas berpuas hati wujud “keadaan khas”, dan bahawa ibu Smit – Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen – tidak akan diprejudiskan.

“Mahkamah Tinggi mengarahkan bayaran segera ke akaun pemegang amanah peguam responden. Namun, pihak pemohon menjelaskan bahawa sebagai agensi kerajaan, proses pembayaran tidak mudah, dan pembayaran serta-merta boleh menimbulkan kesulitan praktikal.
“Kami juga mendapati tiada risiko tidak membayar. Jika rayuan gagal, kerajaan mampu mematuhinya.
“Mengekalkan status quo tidak akan memprejudiskan responden kerana jumlah itu bukan keuntungan kewangan. Penolakan penangguhan boleh membawa kesan yang tidak boleh dipulihkan.”
Zaini berkata demikian ketika menyampaikan keputusan panel, selepas mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin dan peguam Verstappen, Sankara Nair.
Turut bersidang ialah Hakim Ismail Ibrahim dan Hakim Dr Lim Hock Leng.
Kerajaan memfailkan permohonan penangguhan pada 14 November dengan sijil segera, sehari selepas Hakim Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain menolak permohonan mereka.
Keputusan hari ini bermakna pelaksanaan penghakiman Roz Mawar pada 29 Julai ditangguhkan, termasuk arahan pembayaran RM500,000 (ganti rugi am) dan RM600,000 (ganti rugi teruk dan teladan) – keseluruhan RM1.1 juta – kepada Verstappen atas kecuaian polis.

Roz Mawar turut menguatkuasakan keputusan Mahkamah Tinggi 2019 yang mengarah polis menyambung semula siasatan kematian Smit serta memerintahkan Ketua Polis Negara menggugurkan pegawai penyiasat ASP Faizal Abdullah daripada pasukan siasatan.
Kerajaan juga diarah membayar kos RM100,000 dan faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh.
Sebelum keputusan disampaikan, Sankara memberitahu panel bahawa Verstappen masih tiada sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa berhubung perkembangan siasatan, walaupun berkali-kali menulis surat.
“Tiada apa-apa. Senyap sepenuhnya. Hakim Mahkamah Tinggi telah keluarkan perintah pada 29 Julai. Saya tulis surat pada 3 November – tiada jawapan.
“Ini satu tingkah laku degil. Bagaimana ini tidak prejudis kepada pihak responden? Meminta penangguhan adalah tidak munasabah, tidak masuk akal.”
Pada 7 Dis 2017, mayat Smit ditemui di balkoni tingkat enam sebuah unit di CapSquare Residence di Kuala Lumpur — 14 tingkat di bawah unit tingkat 20 milik pasangan suspek Alex Johnson dan Luna Almaz.
Pada 8 Mac 2019, Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan kematiannya sebagai satu kemalangan.

Bagaimanapun, pada November tahun sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan keputusan itu. Kerajaan telah memfailkan notis rayuan pada Ogos tahun ini untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
Ibu Smit kemudiannya memulakan tindakan undang-undang berasingan pada 2020. Dia mendakwa polis, menteri dalam negeri, pegawai polis Dang Wangi serta kerajaan cuai dan gagal melaksanakan tanggungjawab statutori ketika menyiasat kematian anaknya yang berusia 18 tahun itu.
