Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara bagi membolehkan nya menjalani pemeriksaan kesihatan penyakit kanser pankreas yang dialami serta meluangkan masa bersama keluarga di United Kingdom (UK).
Bagaimanapun Bernama melaporkan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin menolak permohonan Muhyiddin, 78 untuk transit selama enam hari di Dubai dengan alasan tiada keperluan munasabah untuk berhenti di negara itu dalam tempoh yang lama.

“Berdasarkan afidivit sokongan, saya tidak melihat justifikasi untuk transit ke Dubai selama lima hingga enam hari sebelum kembali ke Malaysia.
“Pemohon boleh transit di Dubai selama satu ke dua hari. Sebenarnya saya tidak cenderung untuk meluluskan permohonan ini, ” katanya.
Hakim Noor Ruwena turut menegur Muhyiddin kerana telah menempah tiket sebelum kebenaran diperoleh daripada mahkamah dan mengambil risiko.
“Kamu tidak boleh mengambil mudah terhadap setiap permohonan yang dibenarkan mahkamah. Kamu perlu mendapatkan kebenaran sebelum membuat tempahan tiket,” kata hakim itu.
Tidak jelas atau dinyatakan mengapa presiden Bersatu itu merancang untuk transit selama enam hari di Dubai.
Pada Oktober lalu, akhbar New Straits Times melaporkan bahawa ia menerima beberapa gambar yang menunjukkan ahli perniagaan yang menjadi buruan, Adlan Berhan - menantu kepada Muhyiddin - bersama tokoh-tokoh ternama Asia Barat yang tidak dinamakan.

Akhbar berbahasa Inggeris itu juga mendakwa bahawa Adlan — yang meninggalkan Malaysia pada tahun 2023 menikmati kehidupan mewah walaupun dalam pelarian.
Adlan kini dikehendaki berhubung dengan satu projek melibatkan penyelewengan dalam pendaftaran biometrik, pengambilan, dan penyimpanan data pekerja asing bagi sebuah kementerian.
Dengan pasport yang diperolehi itu, Muhyiddin dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur ke London pada 15 Disember bagi menghadiri janji temu perubatan di Platinum Medical Centre pada 17 Disember depan.
Sebelum ini, mahkamah telah beberapa kali membenarkan permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pasportnya secara sementara.
Antaranya bagi menghadiri majlis graduasi cucu dan konsultasi berhubung penyakit kanser pankreas yang dihadapinya di London, pemeriksaan perubatan di Singapura dan menghadiri majlis pembukaan restoran rakannya di Thailand.
Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya memohon untuk mendapatkan pasport bermula hari ini sehingga 12 Januafi 2026 untuk menjalani pemeriksaan kesihatan susulan tahunan berhubung penyakit kanser pankreas di UK.
“Selain menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan pandangan perubatan di UK, anak guam saya juga berhasrat untuk meluangkan masa bersama keluarganya.
“Beliau mempunyai tiga orang cucu yang kini menetap di UK dan selepas urusan perubatan selesai beliau juga berharap dapat menghabiskan sedikit masa bersama isteri dan keluarganya di Madrid,” katanya, sambil menambah tiada risiko untuk anak guamnya melarikan diri.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mahadi Abdul Jumaat berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan rawatan susulan di UK.
“Sekiranya, mahkamah membenarkan permohonan pemohon pihak pendakwaan memohon agar permohonan itu hanya setakat 20 Disember 2025,” katanya, yang mengendalikan kes bersama TPR Noralis Mat dan Wan Iman Wan Ahmad Afzal.
Hakim Noor Ruwena kemudian membenarkan Muhyiddin untuk mendapatkan pasport sementara bermula 8 Disember 2025 hingga 5 Januari 2026.
“Permohonan ini dibenarkan dengan syarat tempoh pemulangan pasport sementara dipendekkan, pasport akan dipulangkan sementara kepada peguam pemohon (Muhyiddin) pada 8 Disember 2025 dan bukan pada hari ini, manakala pasport dikembalikan semula kepada mahkamah pada atau sebelum 5 Januari 2026.” katanya.

Muhyiddin, yang ketika kejadian memegang jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Azman Yusoff bagi parti berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Dia juga berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
