Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | usahlah fikirkan sangat pasal kes Fifa lagi

ULASAN SUKAN | Apabila setiap pemain Harimau Malaya turun ke padang bagi menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, fokus mereka perlu hanya satu – menyempurnakan kemenangan kelima berturut-turut.

Sasaran itu saja yang sepatutnya terpasak dalam minda anak didik Peter Cklamovski bagi menyahut saingan kelayakan Piala Asia 2027. Tidak harus ada lagi gangguan luaran yang langsung tidak membawa sebarang makna.

Hakikatnya pasukan kebangsaan kita masih bernyawa dan masih berada dalam saingan.

Justeru peluang bagi anak watan kita seperti Arif Aiman, Faisal Halim, Safawi Rashid, Nadzmi Faiz serta Luqman Hakim Shamsudin dan yang lain-lain memainkan peranan besar dalam skuad negara kini kembali terbuka.

Sudah tiba saatnya untuk mereka bersama-sama dengan beberapa pemain naturalisasi seperti kapten pasukan, Dion Cools, Corbin Ong, Romel Morales dan Paulo Josue bergabung mengilhamkan kekuatan baru yang membawa impak besar.

Ringkasnya, semua pemain terpilih ke skuad negara harus memberi imej baru kepada wajah cabaran kita.

Dua perlawanan menentang Laos bulan lalu sudah pun memberikan gambaran awal itu. Apa yang diperlukan ketika ini ialah semua pemain mengekalkan rentak sama.

Kualiti permainan dalam aksi melayan Laos terbukti menjanjikan harapan buat negara di sebalik Harimau Malaya dibayangi isu tujuh pemain warisan sejak Jun lalu.

Tanggapan awal terbukti salah

Setiap halangan perlu dihadapi seumpama perlawanan akhir bagi kita. Satu lagi kemenangan juga akan memberikan mesej kepada orang luar bahawa skuad Malaysia mampu menang walaupun dipalit krisis dan skandal besar.

Pada masa sama kita sedar Nepal menghuni tangga tercorot dalam Kumpulan F, namun itu tidak bermakna kita memandang enteng cabaran yang dibawa mereka.

Keyakinan tidak harus keterlaluan, sebaliknya semua pemain mesti beraksi sebagai satu unit seperti yang ditunjukkan ketika menumbangkan Laos dalam dua perlawanan sebelum ini.

Ingat, pemain Harimau Malaya bermain dengan minda kurang tenteram pada ketika itu gara-gara FAM terbabit isu denda oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) terkait kes memalsukan dan mengubah dokumen kelahiran tujuh pemain yang didakwa memiliki pertalian darah dengan negara ini.

Ada yang beranggapan sukar untuk pasukan Malaysia memberikan yang terbaik. Semangat mereka pun sudah luntur ketika itu.

Pun begitu terbukti tanggapan tersebut salah apabila pemain berkumpul semula dan mencorakkan permainan mengikut kekuatan masing-masing sehingga mencetak kemenangan 3-0 dan 5-1 pada 9 Okt dan 14 Oktober lalu.

Dua kemenangan itu memberikan kita enam mata tambahan menjadikan Harimau Malaya memiliki 12 mata sekali gus meletakkan skuad negara sebagai pendahulu kumpulan setakat ini.

Jumlah jaringan kita selepas mengharungi empat perlawanan juga hebat iaitu 14. Faktor tersebut pasti memberikan kelebihan apabila menentang jaguh rantau ini, Vietnam, pada perlawanan terakhir kumpulan yang juga bakal menjadi penentu pada 31 Mac 2026.

Jarang kita berada dalam situasi seperti ini. Itu pun ia hadir ketika kita dicabar dengan pelbagai dugaan.

Perlu lebih garang, sabar

Apa yang sering dilaungkan oleh Cklamovski iaitu menang dengan corak agresif dan menghiburkan penonton setia di Bukit Jalil juga satu mantera yang semakin menjadi di gelanggang sendiri.

Falsafah bola sepaknya juga menuntut pemain beraksi dengan sikap berani sepanjang 90 minit. Elemen tersebut jugalah yang kita tuntut untuk disaksikan pada malam ini.

Jadi, usahlah fikirkan sangat pasal kes Fifa lagi. Apa untungnya pada saat begini? Cuma, apakah pemain kita ada kemampuan menterjemah ramuan disediakan Cklamovski bagi membolehkan cabaran besar ini tetap berterusan?

Jika setiap pemain menunjukkan perwatakan lebih garang dengan corak permainan pantas – dan pada ketika sama mengamalkan sifat sabar – satu lagi kemenangan semakin jelas terbayang di depan.

Pada masa sama, pemain tempatan kita juga makin sedar bahawa jatuh bangun skuad negara kini di tangan mereka.

Selepas pemain warisan digantung, para pemain juga bagaikan mendapat angin baru.

Justeru, apakah masalah yang membelenggu Harimau Malaya baru-baru ini sebenarnya suatu rahmat?


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS