Tambunan ialah daerah tanah tinggi yang terkenal dengan Tugu Mat Salleh dan tembakau tempatan yang dijual di pasar pagi. Di sini, urusan politik bergerak secara senyap di sebalik tradisi, kenangan dan hubungan kekeluargaan.
Ia menjadi kawasan kekuasaan keluarga Kitingan selama 49 tahun sejak pemimpin Kadazandusun Joseph Pairin Kitingan pertama kali memenangi kerusi DUN Sabah itu pada 1976. Kerusi tersebut kemudian diambil alih oleh adiknya, Jeffrey (gambar) pada 2018.
Kesetiaan kepada keluarga itu masih kuat, tetapi ia memperlihatkan jurang generasi. Walaupun golongan Dusun yang berusia masih menyanjung nama keluarga Kitingan, mereka yang berusia bawah 60 tahun dilihat lebih bersedia untuk perubahan.
Namun jurang itu bukan sekadar perbezaan fahaman politik. Dalam kalangan pengundi lebih tua, terdapat kebimbangan bahawa Sabah sedang “diambil alih” oleh pendatang tanpa dokumen – satu masalah yang mereka kaitkan dengan Warisan dan presidennya Shafie Apdal.
Dakwaan tentang migran
Neil Stephen, 61 tahun, mendakwa dia menyaksikan sendiri migran dibawa keluar dari sebuah kem pembalakan dengan tiga buah bas semasa PRU 2018.
“Saya nampak dengan mata saya sendiri, tiga bas 12 tempat duduk keluar dari kem balak itu,” kata Neil yang ketika itu bekerja di pondok keselamatan kem tersebut.

Dakwaan Neil tidak dapat disahkan secara bebas, namun cerita sebegitu mencerminkan ketakutan yang masih mmebelenggu dalam kalangan pengundi luar bandar yang lebih berusia.
Isterinya, Priscilla, turut bersikap berhati-hati terhadap Warisan. Dia mendakwa Shafie menukar kakitangan Yayasan Sabah dengan “orangnya sendiri”.
“Mereka hanya bantu kaum mereka sahaja,” katanya, merujuk kepada etnik Bajau Shafie.
Kenyataan itu menunjukkan satu lagi khabar angin yang sering berlegar di Tambunan, kebanyakannya daripada media sosial, walaupun Shafie sebelum ini menafikan tuduhan mengamalkan nepotisme.
‘Kami tidak percaya Shafie’
Ketika ditanya sejauh mana mereka pasti bahawa Warisan melakukan perkara tersebut, Priscilla menjawab ringkas:
“Apa pun, kami memang tak percaya Shafie.”

Priscilla menegaskan bahawa dia dan suaminya menyokong Jeffrey, yang kini bertanding untuk penggal ketiga sebagai ADUN Tambunan.
“Sudah tentu kami undi Jeffrey. Orang kata dia lompat parti, tapi perjuangannya untuk hak negeri tetap sama,” katanya, merujuk kepada pendirian Jeffrey mengenai MA63 dan tuntutan 40 peratus hasil negeri.
Jeffrey memenangi kerusi Tambunan pada PRN 2020 dengan majoriti 6,792 undi di bawah PN. Dia sepatutnya bertanding di bawah GRS, tetapi perbezaan pendapat mengenai kerjasama dengan PH menyebabkan perpecahan.
Kini dia berdepan enam pencabar. Victor Paut dari GRS dilihat sebagai lawan terkuat, sementara Warisan dan KDM turut menghantar calon.

Priscilla ketawa sinis apabila nama Victor disebut, mengingatkan satu majlis di mana calon GRS itu dikatakan memberi “token” RM50 kepada hadirin.
“Macam itu saja nilainya kami? RM50?” soalnya.
