Polis membuka semula kertas siasatan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain 'warisan' Harimau Malaya.
Ini dikatakan susulan pengeluaran alasan penuh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang menimbulkan persoalan serius terhadap proses naturalisasi pemain tersebut.
Setiausaha Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) Satees Muniandy berkata dia menerima panggilan daripada seorang pegawai polis daripada Petaling Jaya semalam, yang memaklumkan bahawa kenyataannya perlu direkodkan.
Selain itu, katanya, beberapa dokumen tambahan perlu diserahkan walaupun sudah lebih sebulan dia membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur.
"Sebelum ini laporan saya ditutup dengan alasan tiada unsur jenayah tanpa kenyataan saya direkodkan.
"Kini, selepas pendedahan memalukan oleh Fifa yang membuktikan wujudnya pemalsuan, barulah polis mahu membuka siasatan.
"Walau apa pun, saya akan memberikan kerjasama penuh," katanya dalam kenyataan media.
Dia justeru mempersoalkan kepada polis hanya “bergerak” apabila badan antarabangsa seperti Fifa mendedahkan perkara itu.
"PDRM mesti menjelaskan mengapa tindakan hanya diambil selepas tekanan antarabangsa," katanya lagi.
Fifa menyiasat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana dakwaan penggunaan dokumen palsu dalam proses pewarganegaraan tujuh pemain warisan.
Menurut Fifa, FAM mengemukakan sijil kelahiran datuk nenek pemain yang menunjukkan mereka lahir di Malaysia tetapi dokumen asal menunjukkan mereka berasal dari negara lain.
Fifa menjatuhkan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) kepada FAM, dan setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM10,500) serta digantung 12 bulan daripada aktiviti berkaitan bola sepak.
FAM serta pemain-pemain tersebut telah membuat rayuan ke Fifa, tetapi rayuan mereka ditolak sepenuhnya.
Semalam, Fifa menyatakan akan memulakan siasatan rasmi atas dakwaan cubaan memalsukan dokumen kerana ia "mengancam integriti asas bola sepak".
Pemain-pemain terlibat juga dianggap bukan mangsa yang pasif tetapi "manfaat langsung".
Selain itu, Fifa juga mengarahkan penyiasatan terhadap operasi dalaman FAM, bagi memastikan siapa.
FAM sebelum ini menafikan dakwaan pemalsuan secara sedar, dan mendakwa isu itu berpunca daripada "kesilapan pentadbiran" seorang kakitangan akibat salah memuat naik dokumen dari ejen, bukannya rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Satees juga membuat laporan rasmi di Brazil, Argentina, Spain dan Belanda.
"Kementerian Keadilan Brazil dijangka memaklumkan perkembangan laporan saya kepada negara itu sebelum 28 November ini.
"Malaysia kini diperhatikan dunia," katanya.
