Pemantau pilihan raya, Bersih mengingatkan bahawa kerajaan perlu memisahkan dengan jelas urusan rasmi dan aktiviti parti politik, khususnya semasa tempoh kempen pilihan raya.
Menurut Bersih, walaupun perdana menteri menjelaskan bahawa dia dan menteri kabinet berhak menggunakan aset kerajaan termasuk kenderaan rasmi dan pengiring keselamatan bagi tujuan keselamatan dan tugasan rasmi, kenyataan bahawa tiada aset kerajaan digunakan dalam kempen Pilihan Raya Umum Sabah tidak selari dengan pemerhatian mereka.
“Sepanjang tempoh kempen, program kerajaan seperti Jualan Ehsan Rakyat diadakan di kawasan pilihan raya, memberi manfaat material kepada pengundi dan mencipta persepsi kelebihan bagi pihak pemerintah.
"Beberapa pengumuman peruntukan juga dibuat selepas pembubaran Dewan Undangan Sabah, yang jelas mempunyai implikasi politik seperti pengumuman peruntukan RM 62.76 juta bagi pelaksanaan 18 projek infrastruktur di Tawau oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada 8 Oktober 2025.
"Amalan sebegini melemahkan prinsip gelanggang pilihan raya yang adil,” kata Bersih dalam kenyataan.

Semalam Anwar menegaskan bahawa tiada aset kerajaan digunakan dalam sebarang program semasa kempen PRN Sabah.
Anwar berkata penggunaan kemudahan rasmi seperti kereta hanya dilakukan atas faktor keselamatan.
"Tiada program di Sabah itu program kerajaan. Semua kempen saya dijalankan atas nama parti, dan perkara ini sudah dijawab di Parlimen. Kalau begitu, saya hendak guna kenderaan mana? Kenderaan kerajaan diberikan kelonggaran.
"Perdana Menteri mesti menggunakan pasukan keselamatan dan kenderaan rasmi dalam apa jua program atas pertimbangan keselamatan," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
PM tanggung kos tambang kelas pertama
Bersih bagaimanapun menegaskan bahawa walaupun pengiring keselamatan diperlukan bagi perdana menteri dan menteri kritikal seperti Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri, ia tidak boleh menjadi alasan untuk menggunakan jentera kerajaan bagi tujuan kempen.

“Kami mencadangkan agar parti politik atau gabungan perdana menteri menanggung kos tambang kelas pertama bagi perjalanan beliau dan rombongannya semasa menghadiri acara parti.
"Perkara ini pernah dilakukan oleh perdana menteri YAB Dr Mahathir Mohammad yang menyewa helikopter untuk berkempen di PRK Cameron Highland pada tahun 2019. Bersih berpandangan bahawa pemisahan antara urusan kerajaan dan urusan parti perlu jelas.
"Ini merupakan amalan terbaik antarabangsa seperti di dalam Perkara 11 Bangkok Declaration on Free and Fair Elections dan Perkara 4(1) Inter-Parliamentary Union (IPU) Declaration yang mengusulkan supaya ada pemisahan sumber parti dan kerajaan yang jelas ketika kempen pilihan raya,” katanya.
Gabungan itu turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Menteri Undang-Undang untuk segera meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya bagi memperkukuh garis panduan dan menguatkuasakan pemisahan jelas antara urusan rasmi kerajaan dan aktiviti parti politik.
“Kami sudah pun mempunyai cadangan RUU Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya untuk menjadi panduan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bagi meminda Akta ini,” tambahnya.
Selain itu, Bersih menegaskan bahawa kerajaan perlu menghentikan semua program yang memberi manfaat material kepada pengundi sepanjang tempoh kempen, kecuali perkhidmatan kritikal.
“Sebarang salah laku kerajaan dalam menggunakan sumber kerajaan untuk berkempen atau penggunaan rasuah politik ketika berkempen boleh dilaporkan kepada Bersih melalui pemantau.org,” menurut kenyataan itu.
