Pendedahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) bahawa tujuh pemain bola sepak "warisan" yang digantung lulus ujian Bahasa Malaysia ketika memohon kerakyatan, walaupun tidak bertutur bahasa itu, menimbulkan beberapa persoalan.
Salah satu persoalan itu ialah sama ada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution menyoal pemain tersebut seperti yang dilakukannya terhadap beberapa warga emas wanita yang memohon kerakyatan tahun lalu.
Menteri itu pada Mac 2024 menyiarkan video dia berbual-bual dalam bahasa Malaysia dengan beberapa orang warga emas, untuk memeriksa sama ada mereka mempunyai penguasaan bahasa kebangsaan yang mencukupi.
Ini dilakukan semasa dia meninjau ujian bahasa yang dijalankan untuk pemohon kerakyatan di Perak.


Perbandingan itu dibuat oleh sebahagian warga maya sebagai tindak balas kepada pendedahan jawatankuasa rayuan Fifa semalam, yang mengekalkan hukuman dan denda terhadap tujuh pemain kelahiran asing dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Jawatankuasa tersebut, dalam merumuskan penghujahan oleh pemain, menyatakan bahawa mereka tidak bertutur dalam bahasa Malaysia," dan tidak membaca borang permohonan kerakyatan yang mereka tandatangani kerana tidak memahami bahasa itu.
Bagaimanapun, jawatankuasa itu menyatakan bahawa FAM dalam penghujahannya, berkata pemain tersebut lulus ujian bahasa ketika memohon kerakyatan.

Pada Oktober, Saifuddin memberitahu parlimen bahawa pemain-pemain tersebut mempunyai penguasaan asas bahasa Melayu.
"Pemahaman Bahasa Melayu mereka mencukupi... cukup. Maksudnya, bila kita cakap, dia faham," kata dia.
Dalam ucapan yang sama dia juga berkata dia menurunkan gred lulus untuk penguasaan bahasa Melayu bagi pemohon warga emas, daripada lapan markah kepada dua.
Fifa berkata enam daripada tujuh pemain secara tidak sengaja mendedahkan bahawa dokumen yang dihantar kepada ejen mereka menyenaraikan datuk dan nenek "lahir di Malaysia" sebenarnya lahir di luar negara.
Jawatankuasa ritu turut mendedahkan bahawa FAM mendapati dokumen itu diubah suai.
Fifa mendenda FAM dan tujuh pemain—Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, dan Hector Hevel—atas dakwaan pemalsuan dokumen untuk membolehkan pemain asing itu bermain untuk pasukan bola sepak Malaysia.
Pemain-pemain itu juga dikenakan penggantungan 12 bulan.
FAM merancang memfailkan rayuan terakhir kes itu di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
