Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada radiasi berlebihan dikesan di perairan Malaysia - menteri

Tiada radiasi berlebihan direkodkan di perairan Malaysia melalui pemantauan masa nyata oleh lima Stesen Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS), menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Berucap di Dewan Rakyat, Chang (Pakatan Harapan-Tanjong Malim) memetik fungsi stesen pemantauan pertama yang dibangunkan di jeti Universiti Malaysia Sabah pada Jun 2023, diikuti empat lagi stesen di Pulau Perhentian, Pulau Tioman, Bukit Malut, dan Bintulu, sehingga Oktober tahun ini.

“Stesen-stesen ini memantau radiasi gamma secara berterusan, memberikan bacaan secara nyata dan semua data dianalisis oleh Pusat Pengurusan Tindak Balas Nuklear Kebangsaan.

"Sekiranya berlaku insiden pencemaran atau tumpahan sisa radioaktif, kerajaan telah menyediakan langkah kontinjensi yang meliputi peningkatan pemantauan dan pensampelan air laut, sekatan sementara aktiviti penangkapan ikan dan penggunaan hasil laut di kawasan terjejas, serta menyampaikan amaran keselamatan kepada orang awam,” kata Chang sebagai respons kepada Tan Hong Pin (PH-Bakri).

Chang menekankan bahawa langkah-langkah tersebut dijalankan melalui kerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan, Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Setakat ini kita belum ada mengesan tahap yang melebihi had kawalan.

"Kerajaan komited menjalankan pemantauan berterusan dan kesiap-siagaan demi kesihatan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” kata Chang.

GSWMS pertama ditubuhkan untuk memantau air radioaktif terawat yang dilepaskan dari loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi ke Lautan Pasifik oleh pihak berkuasa Jepun.

Pekerja Agensi Tenaga Atom Antarabangsa di loji kuasa nuklear Fukushima Daiichi, sekitar tahun 2023

Pada September, Jabatan Perikanan Negara dilaporkan berkata ia tidak menerima sebarang aduan mengenai pencemaran radioaktif dalam produk makanan laut tempatan, tetapi akan menghantar sampel kepada Agensi Nuklear Negara untuk siasatan lanjut jika perlu.

Pada masa itu, jabatan itu sedang memberi respons kepada penemuan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat mengenai pencemaran radioaktif Caesium-137 dalam udang beku yang diimport dari Indonesia.

Punca pencemaran itu dikesan dari Kawasan Perindustrian Modern Cikande di Banten, Indonesia, dengan bahan radioaktif itu dipercayai diimport untuk dilupuskan sebagai besi buruk.

Semalam, Bernama melaporkan bahawa Badan Kuarantin Indonesia (Barantin) mengesahkan bahawa pemusnahan 5.7 tan udang dalam 494 karton yang tercemar dengan Cesium-137 radioaktif adalah satu usaha untuk mengekalkan keselamatan makanan.

*Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Zarrah Morden, Shakira Buang


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS