Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sindiket dadah Kelantan dalam radar polis - KP

Beberapa sindiket pengedaran dadah di Kelantan kini berada dalam radar pemantauan polis negeri, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu yang sedang dipantau untuk siasatan lanjut.

“Ada beberapa sindiket pengedaran dadah yang berada dalam pemerhatian kita. Sebelum ini mereka sukar ditahan kerana tidak memiliki dadah, sebaliknya hanya bertindak sebagai pemberi arahan.

“Individu yang diberi perhatian termasuk mereka yang baharu membuka perniagaan, termasuk perniagaan pelik atau besar secara mendadak. Kita akan jalankan siasatan lanjut,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kota Bharu, di Kota Bharu, hari ini.

Mohd Yusoff berkata usaha menahan suspek sindiket berkenaan agak mencabar, kerana kelompok itu licik dan memerlukan bantuan teknikal daripada Bukit Aman.

“Rangkaian mereka berlapis-lapis. Ada yang tidak mengenali individu di atas mereka. Ada transporter, orang tengah dan pembawa dadah yang tidak tahu siapa pembekal sebenar. Struktur ini menyukarkan pengesanan. Untuk sampai ke peringkat ketua sindiket, ia melalui banyak lapisan.

“Setakat ini di Kelantan hanya melibatkan peringkat sindiket, belum sampai tahap kartel kerana bekalan yang masuk hanya untuk pasaran di Kelantan dan Semenanjung,” katanya.

Pada Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi sarapan dan sembang santai bersama media Sabah di Kota Kinabalu, mendedahkan wujudnya sebuah kartel besar menyeludup masuk dadah ke Malaysia yang didengarinya sejak 20 tahun lepas dan tiada tindakan diambil.

Anwar turut membangkitkan persoalan berkenaan kepada agensi bertanggungjawab, susulan ramai orang bercakap mengenai perkara itu sambil menegaskan beliau tidak bertolak ansur dan memaklumkan turut menemui ketua-ketua agensi setiap minggu selama satu jam.

Sementara itu, beliau berkata nilai rampasan dadah tahun ini menunjukkan penurunan ketara, iaitu RM28.6 juta berbanding RM64.8 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

“Penurunan lebih 56 peratus ini meletakkan Kelantan di tempat ketiga tertinggi dari segi jumlah kes dan tangkapan, sekali gus menunjukkan kecekapan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik sebagai benteng hadapan dalam Jihad Dadah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata kerja-kerja merobohkan jeti pangkalan haram di Rantau Panjang dijangka selesai sepenuhnya pada akhir tahun ini.

“Ada beberapa isu teknikal antara Majlis Keselamatan Negara Negeri Kelantan dan Pejabat Tanah dan Galian termasuk berkaitan peruntukan, namun kerja perobohan tetap diteruskan walaupun ketika Monsun Timur Laut (MTL),” katanya.

Beliau berkata polis juga menerima 10 enjin bot baharu sebagai persiapan menghadapi MTL dan setakat ini cuti anggota belum dibekukan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS