Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laungan ‘FAM bangsat’ bergema lagi di Bukit Jalil
Diterbitkan:  Nov 19, 2025 3:53 PM
Dikemaskini: 8:14 AM

Penyokong tegar pasukan kebangsaan menyatakan pendirian mereka berhubung skandal bola sepak semasa yang melanda Harimau Malaya dengan tegas dan tanpa berlapik malam tadi di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Pada perlawanan saingan Kelayakan Piala Asia 2027, Ultras Malaya (UM) memajang sepanduk gergasi dengan mesej: "Jangan gadai maruah negara, maruah bukan untuk digadai, selesai segera," dan diakhiri dengan "FAM bangsat".

Lagu dengan lirik "CEO full of s**t" turut bergema di stadium.

Perkembangan terbaru ini hadir susulan pengumuman Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) untuk memulakan siasatan mendalam terhadap FAM berhubung dakwaan pemalsuan dokumen untuk pemain warisan.

“Siasatan ini bertujuan mengenal pasti individu yang bertanggungjawab atas pemalsuan dokumen, menilai kemampuan dan keberkesanan mekanisme pematuhan dan tadbir urus dalaman FAM, dan menentukan sama ada langkah disiplin tambahan wajar dikenakan terhadap pegawai FAM,” kata Fifa.

FAM sedang merayu sekatan tersebut di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), dengan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilaporkan menawarkan untuk menanggung kos bagi tujuan itu.

Pada September, Fifa telah mendenda FAM sebanyak 350,000 franc Switzerland (RM1.9 juta), manakala setiap seorang daripada tujuh pemain warisan - Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano - telah didenda sebanyak 2,000 franc Switzerland dan dikenakan penggantungan selama 12 bulan.

Malaysiakini melaporkan semalam bahawa tujuh pemain warisan itu mengaku kepada Fifa bahawa mereka tidak bertutur dalam Bahasa Malaysia, walaupun FAM menegaskan mereka lulus ujian bahasa yang diperlukan untuk kewarganegaraan.

Butiran yang didedahkan oleh keputusan jawatankuasa rayuan Fifa juga telah menimbulkan persoalan mengenai peranan sebenar Rob Friend dengan pasukan kebangsaan.

Menurut Fifa, Friend menjelaskan bahawa dia berkhidmat sebagai perunding kepada FAM, yang berpangkalan di Kanada dan melancong ke Malaysia untuk hari perlawanan. Ini berbeza dengan versi pihak di Malaysia yang menggambarkannya sebagai CEO pasukan negara.

Laungan ‘FAM bangsat’ pernah digemakan kumpulan penyokong Harimau Malaya pada 2017 sebagai respons terhadap prestasi buruk pasukan kebangsaan. Tunku Ismail merupakan presiden FAM ketika itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS