Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Latheefa kecam lantikan Terrirudin sebagai ahli JAC
Diterbitkan:  Nov 19, 2025 4:00 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Terrirudin Salleh (atas) ke Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC) sama sekali tidak boleh diterima, kata peguam Latheefa Koya.

Latheefa berkata dakwaan serius terhadap Terrirudin masih belum diselesaikan.

"Apa terjadi kepada siasatan atau inkuiri terhadap dakwaan-dakwaan itu? Atau adakah siasatan wujud? Apakah keputusannya? 

“Mengapa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan berdiam diri mengenai perkara ini?" soal bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Latheefa merujuk kepada dakwaan kebocoran minit mesyuarat JAC dari sesi Mei, yang seorang hakim yang kini bersara dilaporkan mendakwa Terrirudin mencampuri urusan badan kehakiman.

Kesahihan kebocoran itu tidak pernah disahkan.

Kebocoran itu mendorong gesaan pelbagai pihak, termasuk Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, untuk mengadakan suruhanjaya siasatan diraja atau tribunal bagi menyiasat dakwaan yang terkandung dalam kebocoran itu.

Setakat ini, satu-satunya siasatan yang diumumkan mengenai perkara ini ialah siasatan polis untuk menentukan sumber kebocoran, serta siasatan terhadap Malaysiakini.

Siasatan terhadap Malaysiakini adalah berhubung soalan yang diajukannya kepada seorang hakim tentang dakwaan serupa dengan yang terkandung dalam kebocoran tersebut.

Hakim itu mengarahkan seorang pembantu memfailkan laporan selepas Malaysiakini mengajukan soalan-soalan itu.

Namun, persoalan mengenai kes itu berhenti selepas Wan Ahmad Farid Wan Salleh dinaikkan pangkat sebagai ketua hakim negara berikutan persaraan Tengku Maimun Tuan Mat.

Terrirudin dilantik menganggotai JAC bawah kuota lima anggota yang dipilih oleh pihak eksekutif.

Bawah kuota itu, perdana menteri boleh melantik seorang hakim Mahkamah Persekutuan dan empat orang terkemuka yang bukan anggota eksekutif atau perkhidmatan awam lain.

Empat anggota lain, yang secara automatik dilantik berdasarkan jawatan mereka dalam badan kehakiman, ialah ketua hakim negara, yang juga pengerusi suruhanjaya itu, presiden Mahkamah Rayuan, dan dua ketua hakim yang mewakili Malaysia Timur dan Barat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS