Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan .polis membuka siasatan berhubung beberapa pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang disyaki terlibat dalam sindiket visa perubatan.
Tindakan tersebut diambil susulan syor pertuduhan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berdasarkan siasatan mendalam terhadap salah laku pegawai terbabit.
"AGC mengesahkan bahawa jabatan ini menerima satu salinan dapatan siasatan dan keputusan EAIC berhubung pegawai JIM dalam kes visa perubatan selaras dengan Perenggan 30(1)(c) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.
"Setelah penilaian dan penelitian dibuat, AGC mengarahkan polis membuka kertas siasatan bagi menentukan jika wujud elemen kesalahan di bawah Kanun Keseksaan atau mana-mana undang-undang lain, termasuk kemungkinan pelanggaran Akta Imigresen 1959/63 oleh beberapa orang suspek.
"Berdasarkan Seksyen 30 Akta 700 Akta EAIC, badan itu berkuasa mengemukakan dapatan dan syor berhubung salah laku pegawai penguat kuasa kepada pendakwa raya," katanya dalam maklum balas kepada Malaysiakini.
Menurut AGC lagi, dapatan siasatan dan syor EAIC telah diterima selaras dengan peruntukan Akta EAIC.
Tambahnya, ketika ini keputusan muktamad mengenai bilangan pegawai yang layak dituduh serta bentuk pertuduhan yang sesuai masih dalam peringkat penilaian berdasarkan hasil siasatan lanjut yang akan dikemukakan oleh polis.
Pada 28 Julai lalu EAIC merujuk syor pertuduhan jenayah terkait pegawai JIM yang disyaki terlibat dengan sindiket visa perubatan kepada AGC.
EAIC memaklumkan ia merupakan dapatan daripada siasatan pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat isu pengeluaran pas lawatan sosial kategori visa perubatan yang dikeluarkan kepada warga asing yang tidak mematuhi prosedur sepatutnya.
Ketika dihubungi, EAIC mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa siasatan mengenai sindiket visa perubatan yang melibatkan pegawai JIM telah selesai dan laporan lengkap dikemukakan kepada pihak berkaitan.
Menurut EAIC enam pegawai JIM disyorkan untuk dikenakan tindakan tatatertib kerana memproses dan meluluskan pas lawatan jangka panjang (visa rawatan) tanpa mematuhi Pekeliling Imigresen Malaysia Bil 10/2001.
Selain itu, seorang pegawai tadbir dan diplomatik turut disyor agar dikenakan tindakan tatatertib kerana gagal memantau pegawai bawahannya, sekali gus merupakan kesalahan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 [PU (A) 246].
"Laporan siasatan yang dikemukakan kepada AGC adalah tertakluk kepada pertimbangan wujudnya salah laku jenayah, termasuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa, sebelum sebarang tindakan undang-undang dimulakan," katanya.
EAIC juga menegaskan prinsip ketelusan dan akauntabiliti diterapkan dalam setiap siasatan, namun laporan penuh tidak didedahkan kepada umum sehingga proses pertimbangan AGC dan polis selesai.
"Langkah ini diambil bagi memastikan tiada gangguan terhadap proses undang-undang yang sedang berjalan," kata EAIC.
Pada 15 Okt tahun lalu EAIC menubuhkan pasukan petugas khas diketuai oleh pesuruhjaya agensi itu Dr Razali Ab Malik untuk meneliti isu pelanggaran proses kelulusan visa perubatan, termasuk semakan terhadap pematuhan tatacara sedia ada, pengambilan keterangan saksi-saksi berkaitan, penyitaan dokumen, serta penyediaan syor yang bersesuaian untuk tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.
Siasatan itu melibatkan kelulusan lebih 20,000 visa perubatan yang diberikan tahun lalu melibatkan satu negeri sahaja.
Malaysiakini difahamkan, setiap kepala dikenakan bayaran sekitar RM4,500 oleh sindiket itu.
Selain memanggil lebih 10 pegawai JIM untuk siasatan, EAIC turut merampas lebih 150 fail dari Ibu Pejabat JIM di Putrajaya untuk membantu siasatan.
Malaysiakini difahamkan antara nama besar yang dipercayai terlibat dengan sindiket visa perubatan ialah seorang pegawai kanan JIM dan seorang ahli perniagaan dari Johor yang masing-masing dikenali sebagai Tok Yah dan DK.
Pada Okt tahun lalu juga Malaysiakini membongkar kegiatan Tok Yah dan DK sebagai antara 'ikan besar' yang terlibat dengan sindiket warga asing tetapi masih tidak disentuh oleh undang-undang.
Malaysiakini turut menyerahkan senarai nama individu yang didakwa terlibat dengan sindiket visa perubatan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
