Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengguna tetap diutamakan dapat air terawat, bukan pusat data

PARLIMEN | Pengguna domestik tetap menjadi keutamaan dalam pengagihan air terawat, bukannya pengguna komersial, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir.

Menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang bertanya jika keperluan pusat data diberi keutamaan semasa gangguan bekalan air di Johor baru-baru ini, Akmal berkata dia sendiri turun padang semasa insiden itu.

Kata Akmal, dia juga mengemukakan soalan sama kepada pengendali air negeri, Ranhill SAJ Sdn Bhd.

“Apa yang dimaklumkan kepada saya ialah, pertama, kapasiti simpanan yang ada di pusat data mencukupi untuk mereka terus berfungsi, dan kedua, saya difahamkan mereka juga mengambil inisiatif untuk membeli air secara manual melalui lori-lori tangki mereka sendiri.

“Justeru tidak ada mana-mana pihak yang dilebihkan,” katanya ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa.

Menurut The Star, hampir 800,000 penduduk di Johor terjejas oleh gangguan bekalan air tidak berjadual selepas pencemaran di Sungai Johor memaksa beberapa loji rawatan air dihentikan operasi pada 1 Nov.

Laporan berasingan oleh Bernama pula – yang memetik Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh – sebagai berkata, tahap kekeruhan mentah Sungai Johor melonjak ke paras membimbangkan iaitu 37,400 NTU (unit kekeruhan nefelometrik) berbanding paras biasa sekitar 400 NTU.

Laporan ini adalah sebahagian daripada projek penyiasatan Apa di balik ledakan pusat data Malaysia? yang meneliti teknologi digital intensif sumber di Asia.

Projek ini merupakan kerjasama antara Internews; Earth Journalism Network, SourceMaterial, Inisiatif Akauntabiliti AI Pusat Pulitzer dan 14 organisasi media di 11 negara.

Sertai sesi bual bicara secara fizikal bersama para wartawan penyiasat di sebalik siri ini pada 23 Nov ini di kawasan berhampiran KLCC, bermula jam 1.15 tengah hari.

Tempat adalah terhad dan butiran lanjut akan diberikan kepada mereka yang mendaftar lebih awal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS