Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pulau Pinang catat sifar miskin tegar sejak Sept lalu
Diterbitkan:  Nov 19, 2025 6:50 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

DUN P PINANG | Pulau Pinang mencatatkan angka sifar bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar sejak Sept lalu selepas berlaku penurunan yang tekal sejak Feb, menurut rekod terkini Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim berkata angka sifar berkenaan adalah hasil daripada proses pemutihan data lapangan dan pihak ICU hanya memaparkan kes yang berdaftar dalam sistem eKasih selepas pembersihan.

“Angka sifar tidak semestinya bermaksud tiada orang susah, ia mungkin bermaksud tiada rekod berdaftar seseorang itu disahkan sebagai miskin tegar pada tarikh laporan.

“Data miskin tegar yang diterima oleh kerajaan negeri adalah daripada ICU Jabatan Perdana Menteri,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2026 (Belanjawan Negeri 2026) di Dewan Undangan Negeri hari ini.

Dia berkata ICU telah turun padang untuk menjalankan bancian dan membuat proses pemutihan sebelum mengesahkan senarai miskin tegar.

Menurut Lim kriteria miskin tegar ditetapkan bagi pendapatan per kapita isi rumah kurang daripada RM315, manakala kerajaan negeri - menerusi Bantuan Agenda Ekonomi Saksama (BAES) - meningkatkan kadar per kapita isi rumah kepada RM322.

“Setelah sesebuah keluarga dikenal pasti dan disahkan sebagai miskin tegar melalui proses penilaian pendapatan dan verifikasi data oleh agensi berkaitan, satu mesyuarat penyelarasan akan diadakan melibatkan semua jabatan dan agensi terlibat.

“Mesyuarat ini bertujuan mengenal pasti bentuk intervensi serta bantuan yang boleh disalurkan oleh setiap agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Urus Zakat Pulau Pinang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), pejabat daerah dan pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya.

Lim berkata ICU berperanan sebagai penyelaras utama dalam memastikan setiap tindakan susulan dilaksanakan secara teratur dan menyeluruh.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS