Garis panduan dan syarat lengkap bagi aktiviti mendulang emas di Kelantan akan diumumkan selepas dibentangkan dalam mesyuarat exco akan datang, kata Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan.
Katanya pihak pejabat tanah dan galian (PTG) sedang meneliti cadangan itu bagi memastikan aktiviti mendulang tidak menjejaskan keselamatan pendulang serta alam sekitar.
“Cadangan untuk memberikan kebenaran menjalankan aktiviti mendulang emas masih dalam peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan.
"Mungkin wujud kekeliruan berhubung pengisytiharan sebelum ini.
"Saya sebut kerajaan bercadang dan akan buat syarat, maknanya ia belum dilaksanakan lagi.
"Kerajaan negeri sedang teliti syarat, garis panduan dan perkara lain sebelum dibentangkan dalam mesyuarat exco akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kota Bharu hari ini.
Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri mahu mengawal selia aktiviti berkenaan.
"Mendulang dibenarkan, tetapi penggunaan peralatan tertentu seperti mesin mudah alih dianggap sebagai industri dan tidak dibenarkan.
"Aktiviti berbentuk industri perlu memohon lesen dan melalui prosedur lebih ketat,” katanya.
Mohamed Fadzli berkata penentuan harga belian emas, pembeli dan pemantauan jumlah pendulang pula akan diselaraskan melalui lesen yang bakal dikeluarkan.
“Kita mahu meneliti semua aspek, cuma syarat belum diumumkan. Justeru saya tidak mahu ulas lebih lanjut. SOP (prosedur operasi standard) akan diumumkan dahulu,” katanya.
Berikutan itu, dia berkata, perlombongan emas memerlukan kos tinggi.
"Setakat ini, kerajaan negeri telah mengeluarkan 20 lesen, tetapi hanya empat syarikat yang aktif, termasuk satu syarikat berskala besar.
“Kerajaan Kelantan mengalu-alukan syarikat tempatan yang berkemampuan menyertai industri ini. Syarikat bumiputera yang benar-benar mampu juga dialu-alukan.
"Setakat ini, tidak banyak syarikat yang boleh melaksanakan perlombongan berskala besar,” katanya.
- Bernama
