Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Radiasi sisa lombong REE Perak yang digantung 13 kali lebih had
Diterbitkan:  Nov 20, 2025 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Bacaan radiasi di salah satu lombong yang digantung operasinya susulan insiden pencemaran “sungai biru” di Perak pada Okt lalu didapati jauh melebihi had, menurut pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Johari Abdul Ghani.

Dia dilaporkan memberitahu Kamar Khas Dewan Rakyat semalam bahawa bacaan sisa daripada proses pelarutan in-situ di lombong terbabit mencecah 13 becquerel, berbanding had 1 becquerel yang ditetapkan dalam laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) tapak berkenaan.

Berdasarkan penemuan awal, katanya, sampel pelepasan juga menunjukkan tona kebiruan, hampir sama dengan perubahan warna Sungai Perak pada 21 Okt.

“Oleh itu, siasatan kini memberi tumpuan kepada jenis bahan kimia yang digunakan dalam proses melarut gali dan sama ada ia selaras dengan maklumat yang telah dilaporkan kepada pihak berkuasa atau tidak,” katanya seperti dipetik Bernama.

Untuk konteks, radioaktiviti sebiji pisang biasa adalah sekitar 15 becquerel, kebanyakannya disebabkan kehadiran kalium-40 semula jadi.

Kenyataan menteri itu mungkin bermaksud “becquerel per gram” dan bukannya becquerel semata-mata.

Dalam konteks perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang biasanya melibatkan torium dan hasil pereputannya, had melebihi satu becquerel per gram boleh menjadikan sisa itu dianggap sebagai buangan radioaktif yang tertakluk kepada keperluan khas dari segi pelesenan, pengendalian dan pelupusan.

Johari menambah mesyuarat kabinet pada Jumaat lalu meluluskan penggantungan selama tiga minggu ke atas lombong REE yang dikendalikan MCRE Resources Sdn Bhd (MCRE Resources), bersama Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd (Rahman Hydraulic).

Pihak berkuasa tak kompromi

Laporan itu menyatakan Rahman Hydraulic mengendalikan lombong bijih timah terbuka terbesar di Malaysia yang terletak di Klian Intan, Perak.

Secara berasingan, kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES) semalam mengesahkan penggantungan dua lombong itu, serta lombong bijih timah melibatkan Asiatic Mine Sdn Bhd dan Nalidah Tin Mine Sdn Bhd.

Kenyataan itu tidak menyebut tempoh penggantungan atau sebarang bacaan radiasi, sebaliknya merujuk ketidakpatuhan terhadap syarat Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berkaitan pelepasan efluen, kawalan hakisan dan sedimen, serta pengurusan penggunaan bahan kimia.

“Dari sudut alam sekitar, NRES dan JMG tidak akan berkompromi dengan pelepasan efluen yang tidak dirawat.

“Pengendalian bahan kimia mesti dilakukan dengan selamat dan terkawal, manakala kawalan hakisan, sedimen dan pemantauan kualiti air mesti berfungsi sepenuhnya,” katanya.

Menurut NRES, penggantungan akan kekal berkuat kuasa sehingga semua langkah pemulihan dan penambahbaikan teknikal dilaksanakan dan disahkan oleh JMG.

Pelarutan in-situ sering digambarkan sebagai alternatif yang lebih mesra alam berbanding perlombongan terbuka. Namun, ia tetap membawa risiko pencemaran air bawah tanah, sungai dan tanah.

Proses itu melibatkan suntikan bahan kimia ke dalam tanah untuk melarutkan REE, kemudian larutan kaya REE dipam keluar untuk pemprosesan lanjut bagi memekatkan kandungannya.

Pekatan bijih itu kemudian sedia dihantar ke loji penapisan untuk diproses seterusnya.

Tapak MCRE Resources dekat Gerik, Perak, beroperasi sejak Okt 2022. Setahun kemudian Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata tapak itu menjana hampir RM16 juta dalam bentuk royalti kepada kerajaan negeri.

Pada 2022, Saarani cuba meredakan kebimbangan terhadap risiko radiologi dan alam sekitar di tapak itu dan mendakwa pembangkang – yang ketika itu diterajui PH – sebagai mengelirukan orang ramai.

Aktivis alam sekitar pula menegaskan bahawa walaupun unsur lantanida yang dilombong tidak bersifat radioaktif, hasil sampingan seperti torium adalah radioaktif, manakala bahan kimia yang digunakan, seperti ammonia, adalah toksik walaupun tidak radioaktif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS