Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSM: Lip Eng ancam tindakan undang-undang untuk tutup isu Kg Papan
Diterbitkan:  Nov 20, 2025 12:19 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

PSM membidas kenyataan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng selepas didakwa mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mengkritik firma guamannya yang dikaitkan dengan pemaju di Kampung Papan, Pandamaran Klang.

Timbalan pengerusi PSM, S Arutchelvan, berkata dia hanya menggesa DAP menjelaskan apakah wujud konflik kepentingan apabila Lim mewakili pemaju tersebut, Melati Ehsan Holdings Berhad, sedangkan seorang lagi wakil rakyat daripada parti itu, Tony Leong (Adun Pandamaran), menentang pemaju yang melakukan pengusiran terhadap penduduk.

Arutchelvan berkata penjelasan itu sepatutnya dibuat oleh kepimpinan DAP dan bukan daripada Lim yang terlibat secara langsung dalam isu berkenaan.

“Dalam kenyataannya, Lim menegaskan bahawa anak guamnya ‘telah memperoleh perintah pengusiran yang sah daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam’ dan ‘tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk menyerahkan tanah’.

"Walaupun itu mungkin benar dari segi teknikal, apa yang gagal disebut oleh ahli parlimen itu ialah masih terdapat rayuan yang sedang berjalan di Mahkamah Rayuan, serta perintah penangguhan yang melindungi keluarga-keluarga terlibat daripada pengusiran.

“Lebih membimbangkan lagi, Ahli Parlimen Kepong itu kini menggunakan ugutan halus dengan memberi amaran terhadap ‘kenyataan fitnah dan dakwaan tidak berasas’.”

“Saya hanya boleh mentafsirkan ini sebagai cubaan untuk membisukan perbincangan awam mengenai isu penting ini,” tambahnya.

Malaysiakini telah menghubungi Lim untuk mendapatkan respons.

‘Nafi konflik kepentingan’

Semalam Lim menegaskan firma guamannya tidak terlibat dalam salah laku atau konflik kepentingan dalam isu pengusiran penduduk di Kampung Papan, Klang.

“Sebarang dakwaan salah laku profesional atau konflik kepentingan bukan sahaja tidak berasas, malah menunjukkan salah faham asas mengenai etika profesional guaman.

“Terma yang dibincangkan dalam dialog kami adalah kerangka undang-undang biasa untuk rundingan penyelesaian, di mana penarikan rayuan tertunggak merupakan syarat standard dan perlu bagi mencapai penyelesaian menyeluruh dalam kes undang-undang yang panjang,” katanya kepada Malaysiakini.

Lim turut memberi amaran bahawa mereka yang mengeluarkan “kenyataan fitnah dan dakwaan tidak berasas” boleh berdepan tindakan undang-undang.

Dia menjelaskan bahawa firma guamannya, Stella, Lim & Co, adalah salah satu firma yang mewakili Melati Ehsan dalam urusan berkaitan projek perumahan syarikat itu.

Menurutnya, selepas memperoleh perintah pengusiran melalui firma guaman lain, syarikat tersebut kemudian mengarahkan firmanya untuk menjalankan dialog dengan kerajaan Selangor berhubung cadangan penyerahan tanah secara sukarela — yang turut melibatkan program perumahan mampu milik dan penempatan semula rumah ibadat yang terjejas.

“Adalah penting untuk menekankan bahawa pelanggan kami, setelah memperoleh perintah pengusiran yang sah dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, tidak mempunyai kewajipan undang-undang untuk menyerahkan tanah.

“Cadangan penyelesaian menyeluruh ini adalah langkah ikhlas untuk mencapai penyelesaian adil yang menyelaraskan matlamat pembangunan dengan kepentingan komuniti.

“Dialog ini berasaskan prinsip undang-undang asas bahawa setiap entiti berhak mendapat perwakilan undang-undang, yang merupakan komponen penting dalam akses kepada keadilan dan kedaulatan undang-undang dalam mana-mana masyarakat demokratik,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS