PARLIMEN | Sekumpulan ahli Parlimen Kuala Lumpur daripada blok kerajaan hari ini mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, yang disifatkan sebagai usaha mereformasi tadbir urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini, ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pindaan tersebut dibuat susulan syor yang dikemukakan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada Ogos lalu.
Menurut Nik Nazmi, DBKL kini beroperasi dengan tahap perbelanjaan mencecah RM2.835 bilion pada 2025, hampir menyamai negeri Selangor dan lebih tinggi daripada Johor.
Bagaimanapun, katanya kuasa membuat keputusan kekal tertumpu kepada Datuk Bandar yang dilantik kerajaan persekutuan, dengan mekanisme semak imbang yang terhad.
“Kami yakin jika RUU ini diluluskan, ia akan menunaikan bahagian manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berikrar bahawa kerajaan akan bekerja keras untuk memperkasakan demokrasi dan ketelusan di DBKL melalui kaedah yang sistematik.
“Usaha ini akan memastikan semua rakyat Malaysia memiliki perwakilan yang boleh dipercayai, inklusif serta mewakili kepentingan rakyat, bukannya pihak pemaju,” katanya.

Hadir sama Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai (Cheras) dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata wakil rakyat Kuala Lumpur juga menegaskan reformasi ini penting walaupun majoriti daripada mereka tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan pada beberapa tempoh lalu.
Menurut Nik Nazmi, sistem baru itu akan memastikan suara penduduk terus diwakili dalam pentadbiran bandar raya.
“Sejak kebelakangan ini, pelbagai kontroversi awam yang melibatkan kawasan-kawasan bandar telah menimbulkan keresahan rakyat, termasuk Kuala Lumpur, menjadikan reformasi ini lebih mendesak.
“Salah satu kaedah praktikal ke arah pendemokrasian yang lebih besar di Kuala Lumpur ialah pelaksanaan sistem ahli majlis, menjadikan Datuk Bandar memiliki peranan penting tetapi setara dengan ahli-ahli majlis yang dicalonkan oleh Ahli Parlimen Kuala Lumpur," katanya.
Sehubungan itu, Nik Nazmi berkata, pihaknya yakin kerajaan Persekutuan dan Dewan Rakyat akan meneliti rang undang-undang ini dengan serius sebagai sebahagian daripada usaha reformasi bagi meningkatkan kebertanggungjawaban dan ketelusan pentadbiran ibu kota.
“Harapan kami sekurang-kurangnya ia dapat dibahaskan. Sebab kalau dah dibahaskan nanti menteri kena respon,”tambahnya.
Sementara itu, Tan Kok Wai berkata sidang Parlimen kali ini adalah masa yang tepat untuk perkara itu dibahaskan susulan syor yang dikemukakan PAC sebelum ini.
Menurutnya RUU ini merupakan langkah progresif ke arah memastikan pentadbiran yang baik, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti serta menjaga kepentingann warga kota.
“Saya harap perkara ini perlu diberi keutamaan dan ahli Parlimen Persekutuan juga pernah kemukakan cadangan yang sama sebelum ini, namun cadangan belum mendatang hasil.
“Oleh itu, ini adalah masa yang tepat untuk RUU ini dikemukakan,” tambahnya.
