Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes buli di MRSM terpencil, 'kurang dari 0.01 peratus' - timbalan menteri

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Rubiah Wang menegaskan bahawa kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) adalah terpencil, dengan jumlah kejadian sedemikian kurang daripada 0.01 peratus.

Tanpa memperincikan tempoh masa untuk menyokong dakwaannya, Ahli Parlimen Kota Samarahan itu menegaskan bahawa kes buli di institut MRSM adalah jarang berlaku, merujuk kepada kejadian berasingan di dua sekolah sedemikian di Pulau Pinang dan Terengganu.

“Di MRSM, kes terpencil. Hanya berlaku tahun lepas tapi tular tahun ini, yang berlaku di MRSM Balik Pulau dan pernah berlaku di MRSM Besut,” timbalan menteri itu memberitahu Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan menteri itu menjawab pertanyaan mengenai inisiatif kementerian untuk melantik bekas anggota tentera dan polis sebagai warden MRSM sebagai sebahagian daripada projek rintis yang telah dilaksanakan di MRSM Balik Pulau dan MRSM Besut sejak Ogos.

Dalam mempertahankan projek perintis itu, Rubiah berkata bahawa kedua-dua sekolah yang terlibat telah melaporkan perkembangan positif hasil daripada inisiatif tersebut, yang katanya telah membantu dalam mengurangkan beban kerja guru dan meningkatkan kecekapan operasi keseluruhan di sekolah.

"Setakat ini dalam proses pelaksanaan projek tidak ada rekod kes-kes (buli) macam ini berlaku di MRSM, keadaan makin bertambah baik, dan juga pengoperasian aspek-aspek keselamatan dan tugas-tugas di asrama lebih baik dan efektif,” tambahnya.

Apabila ditanya mengenai kos kewangan projek rintis itu, Rubiah menekankan bahawa walaupun program ini sememangnya melibatkan perbelanjaan tambahan, kementerian mengutamakan keberkesanan kos dan hasil yang produktif.

Walaupun Rubiah tidak memperincikan secara khusus kos tambahan yang dimaksudkan, dia menyatakan bahawa kementerian akan melantik perunding pihak ketiga pada bulan Februari, pada akhir fasa rintis projek, untuk menilai keberkesanan program warden.

“Jika nilai, impak lebih positif dan menyelerah, akan selarasakan ke semua 57 MRSM di Malaysia," tambahnya.

Dia juga menekankan bahawa veteran polis dan tentera yang dipilih untuk program ini “berdisiplin dan mempunyai ketegasan - bukan kekerasan,” bagi memastikan pembentukan disiplin dalam kalangan pelajar.

Pada April, Mara telah mengumumkan hasratnya untuk menempatkan anggota tentera yang telah bersara sebagai warden di MRSM selepas video buli di MRSM tular di media sosial, mencetuskan kemarahan dan kebimbangan di seluruh negara.

Siasatan polis kemudiannya mendapati bahawa kejadian itu berlaku pada pertengahan tahun 2023.

Polis juga menahan beberapa pelajar MRSM Besut untuk menyiasat kejadian buli yang didakwa berlaku pada bulan Jun tahun ini, dengan mangsa dikatakan mengalami sakit di perut serta tulang rusuk dan lebam di belakangnya.

Enam pelajar yang terlibat dalam kejadian itu telah digantung dan dibuang dari MRSM.

*Laporan oleh Qistina Nadia Dzulqarnain, Alyaa Alhadjri, Shakira Buang


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS