Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramkarpal cadang wujudkan jaminan tempoh khidmat bagi Datuk Bandar

PARLIMEN | Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh mencadangkan agar diwujudkan jaminan tempoh perkhidmatan (security of tenure) bagi Datuk Bandar, sama ada yang dipilih melalui pilihan raya kerajaan tempatan atau yang dilantik.

Pemimpin PH itu membuat cadangan berkenaan sebagai alternatif sekiranya pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) masih belum dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Cadangan itu hadir susulan penamatan perkhidmatan Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baru-baru ini, yang menurut Ramkarpal menimbulkan persoalan mengenai ketelusan proses pelantikan dan pemberhentian ketua PBT.

“Dalam isu-isu yang timbul akibat perkembangan tersebut, adakah kerajaan atau KPKT bersedia untuk mengkaji semula keperluan pilihan raya PBT supaya kita mempunyai satu sistem atau proses yang lebih telus dalam pemilihan Datuk Bandar dan juga penamatan tugas Datuk Bandar jika pilihan raya kerajaan tempatan tidak dapat direalisasikan dalam masa yang terdekat?

“Langkah ini penting bagi memastikan seseorang yang memegang jawatan tersebut tidak boleh diberhentikan tanpa melalui proses sewajarnya,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Ramkarpal, penubuhan tribunal khusus bagi memutuskan pemecatan atau penamatan tugas Datuk Bandar juga perlu bagi mengelakkan tindakan yang bersifat sewenang-wenangnya.

“Adalah juga penting untuk satu mekanisme yang spesifik dan tertentu diperkenalkan seperti tribunal bagi pemecatan ataupun penamatan tugas Datuk Bandar.

“Tribunal ini juga sepatutnya dipertimbangkan untuk mengelakkan penamatan kerja secara arbitrary (sewenang-wenangnya). Jadi, saya ingin bertanya kepada kementerian sama ada kajian-kajian yang sewajarnya akan diambil dalam masa yang terdekat berkenaan isu ini,” katanya.

Maimunah Mohd Sharif

Sementara itu, Ramkarpal turut menyifatkan Maimunah sebagai seorang tokoh yang berkelayakkan berdasarkan latar belakang akademik dalam perancangan bandar serta pengalaman panjang dalam perkhidmatan kerajaan tempatan, termasuk peranan beliau di Majlis Perbandaran Pulau Pinang sebelum menerajui DBKL.

Ramkarpal berkata berdasarkan pencapaian DBKL yang mencatat lebihan RM27.6 juta selepas mengalami defisit dua tahun berturut-turut, Maimunah menunjukkan kepimpinan berkesan.

Justeru, Ramkarpal mempersoalkan sebab penamatan tugas tersebut, memandangkan ia tidak disertai dakwaan salah laku atau kontroversi.

Ramkarpal turut merujuk laporan media mengenai siasatan dalaman DBKL terhadap salah laku berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Menurut laporan itu, SPRM tidak menemui unsur jenayah tetapi mengesahkan wujud kelemahan dalam garis panduan perolehan.

Ramkarpal menegaskan bahawa butiran ini wajar menimbulkan persoalan sama ada tindakan tegas Maimunah dalam isu integriti mungkin menjadi faktor pencetus, sambil menambah dia tidak membuat sebarang tuduhan.

“Maka persoalan yang wajar ditimbulkan di sini adalah mengapa secara tiba-tiba Datuk Bandar tersebut, tanpa sebarang dakwaan, salah laku ataupun kontroversi ditamatkan perkhidmatannya?” soalnya.

Maimunah dilantik menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2024, bagi menggantikan Kamarulzaman Salleh yang bersara wajib.

Bagaimanapun, tempoh perkhidmatannya dipendekkan setahun lebih awal dan dia ditugaskan semula di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Petronas.

Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, berkata, perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, supaya tempoh perkhidmatan Maimunah dipendekkan daripada 14 Ogos 2026 kepada 14 November 2025.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS