Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Singapura bakal gantung mati lagi rakyat Malaysia minggu depan
Diterbitkan:  Nov 20, 2025 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Kerajaan Singapura mengesahkan bahawa seorang lagi rakyat Malaysia yang dijatuhi hukuman mati atas kesalahan pengedaran dadah, Saminathan Selvaraju, akan digantung pada 27 November ini.

Sebelum ini dua lagi rakyat Malaysia – Datchinamurthy dan Pannir Selvam – dihukum mati oleh republik itu dalam beberapa bulan kebelakangan.

Menurut sepucuk surat daripada Perkhidmatan Penjara Singapura yang dilihat Malaysiakini, Penolong Pengarah Kanan (Pentadbiran Banduan) Lim Lay Khim, berkata pihak berkuasa akan membenarkan keluarga Saminathan membuat lawatan lanjutan sehingga 26 November, dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari, dan 2 petang hingga 4 petang.

Pada 28 Ogos lalu, panel lima hakim Mahkamah Rayuan Singapura yang diketuai Ketua Hakim Negara Sundaresh Menon menolak cabaran perlembagaan terhadap peruntukan dalam Akta Salah Guna Dadah (Misuse of Drugs Act-MDA) republik itu.

Akta itu meletakkan beban kepada tertuduh pengedar dadah untuk menangkis fakta-fakta yang dianggap telah terbukti.

Antara banduan yang terkesan dengan undang-undang itu termasuk beberapa rakyat Malysia. Mereka termasuk Jumaat Mohamed Sayed, Lingkesvaran Rajendaren, K Datchinamurthy, dan Saminathan.

Akhbar The Straits Times memetik Sundaresh sebagai berkata, MDA tidak melanggar Perlembagaan Singapura. Peruntukan itu membenarkan mahkamah mengandaikan bahawa seseorang tertuduh memiliki dadah atau mengetahui sifat dadah tersebut apabila fakta asas dibuktikan.

Anggapan itu boleh ditangkis, namun beban pembuktian terletak pada tertuduh.

Keempat-empat mereka dijatuhi hukuman mati antara 2015 hingga 2018. Rayuan terhadap sabitan dan hukuman pula ditolak antara 2016 dan 2020.

Keputusan terhadap Saminathan dibuat selepas Datchinamurthy dihukum mati pada 25 Sept lalu, yang mengundang kecaman keras daripada peguamnya, N Surendran.

Dalam kenyataannya berhubung kes itu, Surendran berkata:

“Berpura-pura memberi penangguhan kepada Datchinamurthy, memberi harapan kepada dirinya dan keluarganya, kemudian menghumbankan mereka kembali dalam ketakutan dan keputusasaan itu adalah tidak berperikemanusiaan.

“Ia satu tindakan arbitrari dan kejam — tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan.

“Kekejaman itu tampak disengajakan dan tidak berperasaan. Ini satu titik terendah baru bagi Singapura — ringkasnya, ia kebiadaban negara.”

Pada 8 Oktober lalu, Singapura menghukum mati Pannir Selvam Pranthaman, kurang dua minggu selepas pelaksanaan hukuman ke atas Datchinamurthy.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS