Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terrirudin dilantik ke JAC: Majlis Peguam bimbang kurangnya ketelusan
Diterbitkan:  Nov 21, 2025 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Majlis Peguam telah mengkritik kerajaan berhubung apa yang disifatkan sebagai kurangnya ketelusan dalam pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Salleh ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Mengakui bahawa pelantikan itu berada di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, Presiden Majlis Peguam Ezri Abdul Wahab berkata jawatan berkenaan lazimnya diisi oleh hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang paling kanan.

“Penyimpangan daripada amalan ini menimbulkan persoalan yang wajar mengenai asas keputusan tersebut, khususnya apabila tiada penjelasan jelas mengenai kriteria yang digunakan.

“Ketelusan, kejelasan dan penghormatan terhadap kelaziman adalah penting untuk mengekalkan keyakinan awam terhadap kebebasan badan kehakiman,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terrirudin dilantik untuk menganggotai JAC selama dua tahun berkuat kuasa pada 15 November lalu.

Ahmad Terrirudin Salleh

dilantik oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di bawah kuota eksekutif yang memperuntukkan lima anggota ke dalam JAC.

Di bawah kuota ini, Perdana Menteri boleh melantik seorang hakim Mahkamah Persekutuan dan empat tokoh yang bukan anggota eksekutif atau perkhidmatan awam.

Empat anggota lain yang secara automatik menganggotai JAC berdasarkan jawatan mereka dalam badan kehakiman ialah Ketua Hakim Negara, yang juga menjadi pengerusinya, Presiden Mahkamah Rayuan, serta dua hakim besar yang mewakili Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Proses tidak telus

Ezri menegaskan bahawa komposisi dan proses membuat keputusan JAC perlu diyakini orang awam memandangkan badan itu memainkan peranan penting dalam memelihara kebebasan kehakiman dengan mencadangkan calon bagi jawatan kehakiman tertinggi.

“Namun, apabila pelantikan ke JAC kelihatan tidak telus atau tiada asas yang jelas, ia berisiko melemahkan keyakinan terhadap keseluruhan sistem kehakiman.

“Ketelusan penting untuk memastikan orang ramai yakin bahawa pelantikan yang dibuat semata-mata berdasarkan merit, bebas daripada pengaruh politik atau campur tangan tidak wajar,” katanya lagi.

JAC menjadi tumpuan awam pada pertengahan tahun ini susulan dakwaan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan dituduh melakukan campur tangan kehakiman semasa mesyuarat suruhanjaya itu pada Mei lalu.

Pertanyaan yang dibuat Malaysiakini kepada hakim berkenaan pada Jun lalu membawa kepada siasatan polis selepas dia mengarahkan seorang pembantunya membuat laporan.

Kira-kira sebulan kemudian, dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat suruhanjaya itu bocor di media sosial, menimbulkan kebimbangan bahawa eksekutif cuba mengawal badan kehakiman, dengan hakim berkenaan dikatakan bakal dilantik sebagai Hakim Besar Malaya dan seterusnya Ketua Hakim Negara.

Bagaimanapun, kontroversi itu mula reda selepas Hakim Mahkamah Rayuan ketika itu, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dilantik menjadi Ketua Hakim Negara menggantikan Tengku Maimun Tuan Mat.

Sebagai respons kepada spekulasi yang timbul, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menafikan yang dia telah menamakan Terrirudin untuk dipertimbangkan sebagai Ketua Hakim Negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS