Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mewajibkan pemasangan papan tanda amaran ubur-ubur di semua kawasan pantai pulau itu, susulan kematian seorang pelancong warga Rusia akibat sengatan ubur-ubur hari ini.
CEO LTA, Zainudin Kadir menyuarakan kebimbangan tragedi itu akan menjejaskan imej pulau pelancongan itu dan menjejaskan kehadiran pelancong.
“Berita ini sudah tular di Rusia, ramai sudah tahu. Ia berisiko menakutkan pelancong Rusia dan juga pelancong negara lain.
“Terdapat peningkatan pelancong ketika ini, namun insiden ubur-ubur dibimbangi boleh menjejaskan sektor pelancongan Langkawi jika langkah keselamatan tidak ditambah baik,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Zainudin, keberadaan ubur-ubur di pantai Langkawi berkait rapat dengan perubahan cuaca dan peralihan angin monsun, di mana spesies tersebut kini bergerak daripada kawasan timur menuju ke barat daya.

Jika tidak dibendung, katanya, haiwan ini dikhuatiri akan bertelur dan membiak sehingga April tahun depan, iaitu sebelum peralihan monsun seterusnya berlaku.
“Sekarang wajib untuk pemasangan papan tanda oleh pihak PBT untuk memberi amaran kepada pelancong tentang kewujudan ubur-ubur di pantai.
“Jika gagal meletakkan papan tanda, pada 2026 sempena kempen Visit Malaysia, jumlah pelancong akan menurun,” katanya lagi.
Mati selepas dirawat empat hari
Semalam, seorang kanak-kanak lelaki dua tahun warga Rusia meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, selepas disengat ubur-ubur di Pantai Cenang, Langkawi pada Sabtu lalu.
Bapa kepada kanak-kanak itu, Nikita Lakubanets berkata doktor memaklumkan anaknya disengat ubur-ubur kota, atau box jellyfish, menyebabkannya cedera teruk di kaki, selain racun ubur-ubur telah menjejaskan bahagian jantungnya.
Mengimbas kejadian pada pagi Sabtu lalu, Nikita, 32, berkata keluarganya sedang mandi di Pantai Cenang sebelum anaknya tiba-tiba menjerit kesakitan.
Isterinya, Olga kemudian mengangkat kanak-kanak itu ke pantai dan cuba memberi bantuan pernafasan sebelum bergegas ke sebuah klinik berhampiran, katanya.

Menyuarakan penghargaan kepada pasukan perubatan hospital yang telah memberikan yang terbaik untuk menyelamatkan anak mereka, Nikita berkata mereka bercadang membawa pulang abu mayat anak mereka ke Khabarovsk, Rusia.
Mengulas lanjut, Zainudin berkata pada masa ini, hanya ada satu papan tanda berkenaan ubur-ubur di Pantai Cenang dan Pantai Tengah, yang disifatkannya sebagai tidak mencukupi memandangkan kedua-dua lokasi itu merupakan tumpuan utama pelancong.
Dia juga mencadangkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri segera memasang jaring keselamatan sepanjang kawasan berenang bagi menghalang ubur-ubur daripada menghampiri pantai.
“Kita tidak boleh hapuskan ubur-ubur, tetapi kita boleh mengehadkan kawasan berenang untuk lindungi pelancong.
“Setakat ini, kita tidak nampak sebarang tindakan konkrit diambil,” katanya lagi.
Langkawi menyasarkan untuk menarik kehadiran lima juta pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
