Sebuah kumpulan hak asasi manusia dari Indonesia menggesa kerajaan menyiasat secara menyeluruh kehilangan Ruth Sitepu, susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati kerajaan Malaysia bertanggungjawab dalam kes kehilangan paksa pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.
Komisi untuk Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan (Kontras) juga menyeru kerajaan Malaysia memberikan pampasan kepada keluarga Ruth, sama seperti yang diarahkan oleh mahkamah dalam kes Koh dan Amri.
“Keputusan mahkamah ini sepatutnya menjadi preseden untuk tindakan susulan dalam kes kehilangan paksa Ruth.
“Selain itu, melalui siasatan awamnya, Suhakam mendapati terdapat kaitan antara kes Amri, Koh, Joshua Hilmy (suami Ruth), dan Ruth sendiri.
“Ini menunjukkan tanggungjawab kerajaan terhadap kes Amri dan Koh juga perlu diterapkan dalam kes Ruth,” kata Kontras dalam satu kenyataan semalam.
Kumpulan itu turut mendesak kerajaan Indonesia mengambil langkah konkrit untuk memberi tekanan kepada Putrajaya bagi menyelesaikan kes Ruth.
Dalam kenyataan itu, adik lelaki Ruth, Iman Setiawan, menyuarakan harapan keluarga agar kerajaan Indonesia “benar-benar mengambil tindakan” dalam pencariannya dan mereka dapat bertemu Ruth semula.
Ruth Sitepu dan suaminya, Joshua hilang pada 30 Nov 2016, tetapi hanya dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.

Pada mulanya, wujud syak wasangka tentang penglibatan pihak kerajaan dalam kehilangan ini kerana pasangan tersebut aktif menyebarkan ajaran Kristian. Pasangan itu juga didakwa menerima ugutan menerusi panggilan telefon sebelum mereka hilang.
Joshua, seorang warganegara Malaysia, dilahirkan sebagai Muslim dan perkara itu tercatat pada MyKad miliknya, tetapi kemudiannya memeluk Kristian di Singapura pada 2003. Isterinya, Ruth, adalah seorang Kristian.
Joshua dikatakan pernah dikehendaki oleh pihak berkuasa agama Islam berkaitan status agamanya.
Kes Koh dan Amri dibuka semula
Pada 5 Nov, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kerajaan Malaysia bertanggungjawab dalam kes penculikan Amri dan Koh, serta mengarahkan pihak berkuasa membuka semula siasatan kes mereka.
Hakim Mahkamah Tinggi, Su Tiang Joo, turut memerintahkan pembayaran pampasan RM3 juta kepada isteri Amri, Norhayati Ariffin, dan RM6 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew — selain bayaran RM10,000 dikira dari hari pastor tersebut hilang sehingga ditemui.

Pada 13 Nov, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa Pejabat Peguam Negara akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi kerana terdapat alasan untuk berbuat demikian.
Pada 15 April 2022, Suhakam mengeluarkan laporan akhir mengenai kehilangan paksa Amri, Koh, Joshua, dan Ruth.
Walaupun Suruhanjaya mendapati penglibatan pihak kerajaan dalam penculikan Amri dan Koh, ia memutuskan bahawa tiada bukti penglibatan kerajaan dalam kes Joshua dan Ruth.
Koh, seorang pastor evangelis, hilang pada waktu siang 13 Feb 2017. Rakaman CCTV menunjukkan dia diculik 15 individu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya. Beberapa pihak mengaitkan kehilangan pastor itu dengan dakwaan cubaan menukar agama Muslim kepada Kristian.
Amri, seorang pengikut dan penyebar ajaran Syiah, kali terakhir dilihat sekitar tengah malam 24 Nov 2016 di Jalan Padang Behor, Kangar, Perlis. Saksi melaporkan Amri diculik dan dilarikan menggunakan sebuah kenderaan.
Pihak berkuasa agama negeri sebelum ini memantau Amri kerana curiga dengan NGO kebajikannya, Perlis Hope, yang didakwa digunakan sebagai alat untuk menyebarkan ajaran Syiah, yang diharamkan di Malaysia.
