Peguam yang mewakili bekas pelajar SMK Taun Gusi yang menang kes saman sivil terhadap guru mereka yang sering tidak hadir pada 2023 sepatutnya menulis surat untuk menanyakan status bayaran ganti rugi yang diperintahkan mahkamah, kata Peguam Negara, Dusuki Mokhtar.
Dusuki mengesahkan kepada Malaysiakini semalam bahawa kerajaan tidak merayu perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, dan terdapat prosedur yang perlu diikuti untuk mendapatkan bayaran tersebut.
“Prosedur yang sepatutnya diikuti ialah peguam menulis surat kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk menanyakan status bayaran (yang diperintahkan mahkamah).
“AGC kemudian akan menghantar surat dan dokumen peguam itu, bersama perintah mahkamah, kepada Kementerian Kewangan.
“Kementerian akan mengeluarkan borang untuk diisi oleh peguam plaintif. Setelah lengkap, AGC akan menghantarnya semula ke Kementerian Kewangan untuk diproses,” katanya.
Dusuki berkata demikian sebagai respons kepada peguam Sherzali Herza Asli, yang mendakwa anak guamnya belum menerima bayaran ganti rugi daripada kerajaan walaupun mahkamah telah mengeluarkan perintah dua tahun lalu.
Semalam, Sherzali berkata kerajaan tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah dan tiada permohonan dibuat untuk menangguhkan bayaran yang diperintahkan kepada plaintif Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali, dan Calvina Angayung.
Hampir RM18,000 faedah terkumpul
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan kerajaan, Ketua Pengarah dan Menteri Pendidikan, serta pengetua SMK Taun Gusi, Suid Hanapi, dan guru Jainal Jamran, membayar RM150,000 kepada plaintif.
Hakim Leonard David Shim memerintahkan RM50,000 bagi bayaran ganti rugi kepada setiap plaintif, serta faedah berasingan 5 peratus setahun dari tarikh keputusan 18 Julai 2023 sehingga penyelesaian penuh.
Calvina, yang hadir bersama Sherzali di sidang media semalam, mengesahkan bahawa jumlah faedah terkumpul sehingga kini ialah RM17,541.67.
Dia dan rakan sekelasnya menyaman Jainal kerana kerap tidak hadir ke sekolah dan memenangi kes tersebut selepas mahkamah mendapati mereka berjaya membuktikan guru itu sering tidak hadir pada bulan-bulan menjelang peperiksaan mereka pada Nov 2017, tanpa bukti dia bercuti atau terlibat dengan aktiviti sekolah lain.
Hakim memutuskan bahawa defendan melanggar tanggungjawab undang-undang mereka di bawah Akta Pendidikan 1966 dan Peraturan 3C, 25 dan 26 Peraturan Pegawai Awam (Tingkah Laku dan Disiplin) 1993.
