Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke: 1,300 jam gangguan tren KTMB angkara kabel lesap
Diterbitkan:  Nov 21, 2025 11:29 AM
Dikemaskini: 3:29 AM

Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) berdepan ratusan jam kelewatan dan gangguan sepanjang tahun ini akibat kes kecurian kabel, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menurutnya, kecurian kabel telah menyebabkan 562 jam kelewatan perkhidmatan Electric Train Service (ETS) dan 741 jam gangguan perkhidmatan KTM Komuter, dengan pengendali kereta api nasional itu bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa sebagai tindakan segera menangani isu tersebut.

“Menjalankan operasi khas dan rondaan 24 jam oleh anggota Polis Bantuan KTMB di kawasan hotspot terutamanya di kawasan sekitar Lembah Klang.

“Selain itu, usaha akan diteruskan dengan memperkukuh rondaan dibuat bersama pihak PDRM.

"Risikan dan intipan di lokasi berisiko tinggi, termasuk usaha membanteras sindiket pasaran gelap logam bersama pihak PDRM.

"Pemasangan 193 penutup manhole kabel disimen di sektor Utara dan pembaikan pagar yang bocor serta cadangan pemasangan kamera CCTV dan penggunaan dron di lokasi hotspot,” katanya pada jawapan bertulis parlimen kepada Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin semalam.

Loke berkata terdapat 104 kes kecurian kabel direkodkan dari Januari hingga Ogos tahun ini, dengan jumlah tertinggi dicatatkan di Perak (38), diikuti Selangor (37) dan Kedah (19).

Sementara itu, katanya, kes kecurian kabel di negeri lain ialah empat kes di Negeri Sembilan, tiga di Pulau Pinang, dua di Kuala Lumpur dan satu di Pahang.

Pada Jun lalu, ketua pegawai operasi KTMB Zain Mat Taha berkata kecurian kabel merupakan bentuk sabotaj ke atas infrastruktur kereta api yang boleh mengancam keselamatan ratusan penumpang selain melumpuhkan sistem pengangkutan awam.

Susulan itu, pengendali kereta api berkenaan berkata mereka merancang menaik taraf rangkaian sistem isyarat sebagai langkah mitigasi, yang melibatkan anggaran kos RM12.8 juta setahun bagi tempoh tiga tahun, dengan tumpuan kepada lokasi panas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS