Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surat sokongan pegawai PM: Bersih tuntut jawapan
Diterbitkan:  Nov 21, 2025 12:00 PM
Dikemaskini: 5:18 AM

NGO Gabungan Pilihan Raya Bersih (Bersih) menyoal sejauh mana Akta Perolehan Kerajaan 2025 mampu memastikan ketelusan dan integriti dalam proses perolehan kerajaan.

"(Ini) susulan tular surat sokongan Setiausaha Politik Perdana Menteri kepada Kementerian Kesihatan untuk syarikat tertentu," kata Pengerusinya Faisal Aziz melalui siri hantaran di X.

Menurutnya, kejadian surat sokongan selepas akta berkenaan diluluskan di parlimen menimbulkan persoalan mengenai keberkesanannya.

“Akta ini penting untuk memperkukuh tatakelola, ketelusan dan kecekapan dalam perolehan kerajaan.

"Namun, sejauh mana ia boleh mencapai apa yang didakwa jika amalan surat sokongan masih berlaku selepas Akta ini diluluskan di parlimen,” katanya lagi.

Faisal berkata Bersih mengalu-alukan komitmen kerajaan Madani untuk melaksanakan siri reformasi lain seperti pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Akta Ombudsman, Kebebasan Maklumat dan pendanaan politik.

Namun, katanya ia bukan jaminan jika kelemahan asas tatakelola tidak ditutup secara menyeluruh.

“Tetapi apakah jaminan kerajaan untuk reformasi yang bakal dibuat ini benar-benar dapat menutup kelompongan yang menyebabkan isu tatakelola dan rasuah terus berlarutan," soalnya.

Dia menegaskan reformasi tidak boleh sekadar kosmetik, sebaliknya perlu digerakkan dengan kesungguhan politik dan keyakinan mendalam untuk membanteras rasuah.

“Justeru, pelaksanaan reformasi harus didorong oleh ‘political will and deep conviction’ pemerintah untuk hapuskan rasuah, tidak nanti akhirnya hanya dilihat seperti melepaskan batuk di tangga,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli semalam menamakan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, - Shamsul Iskandar Mohamd Akin sebagai pegawai yang menulis surat sokongan untuk enam kontraktor dalam projek pembinaan sebuah hospital tahun lalu.

Dalam satu video di Facebook, Rafizi mendakwa insiden itu adalah peluang terbaik untuk Anwar menunjukkan keazamannya untuk memerangi rasuah, dan daripada hanya menegurnya.

Malaysiakini sudah menghubungi Shamsul dan masih menunggu maklum balasnya.

Terdahulu, Malaysiakini mendapati sepucuk surat yang didakwa ditandatangani oleh pegawai perdana menteri itu tular di media sosial.

Surat bertarikh 6 Mei 2024 itu ditujukan kepada seorang pembantu Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, dan memintanya mempertimbangkan enam kontraktor dalam projek hospital Muar.

Surat itu mula tular di media sosial tahun lalu sebelum disahkan sendiri oleh Dzulkefly di Parlimen.

Semasa sesi dewan khas pada 9 Julai tahun lalu, menteri kesihatan itu menegaskan bahawa surat tersebut tidak menyebut sebarang perintah atau kelulusan bagi enam syarikat itu dilantik untuk projek tersebut, sebaliknya hanya untuk pertimbangan.

“Ini menunjukkan bahawa Pejabat Perdana Menteri (PMO) tidak campur tangan dalam perolehan projek Kementerian Kesihatan dan kementerian lain,” kata Dzulkefly.

Menurutnya oleh kerana permintaan itu adalah untuk pembinaan hospital baru, Kementerian Kesihatan tidak mempertimbangkan atau meluluskan permohonan oleh kontraktor yang disebut dalam surat setiausaha politik itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 18 Nov lalu memberitahu Dewan Rakyat bahawa dia telah memberi teguran keras kepada salah seorang daripada tiga setiausaha politiknya kerana menulis surat sokongan untuk enam kontraktor dalam projek pembinaan sebuah hospital tahun lalu.

Bagaimanapun, Anwar ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, tidak menyatakan siapakah setiausaha politik yang menerima teguran itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS