Aktivis hak asasi terkenal Ambiga Sreenevasan dan Marina Mahathir akan menyertai Justice March bersama M Indira Gandhi pada 22 November ini.
Menurut pengerusi, badan bukan kerajaan Indira Gandhi Action Team (Ingat), Arun Dorasamy, Ambiga – bekas presiden Majlis Peguam dan bekas pengerusi Bersih 2.0 – konsisten berada di barisan hadapan dalam pelbagai isu hak asasi manusia dan tadbir urus.

“Kehadirannya bukan sekadar simbolik, ia memperkukuh prinsip asas bahawa tiada pihak berkuasa berada di atas undang-undang, dan perjuangan membawa pulang Prasana Diksa adalah perjuangan berteraskan keadilan perlembagaan, hak kanak-kanak, dan kewajipan moral.
“Kehadiran tokoh seumpamanya berjalan bersama Indira adalah peringatan tegas kepada negara bahawa menuntut keadilan tidak boleh dilupakan walau selama mana perjuangan itu,” kata Arun dalam kenyataan hari ini.

Mengenai penyertaan Marina, Arun berkata kehadirannya esok mengesahkan kebenaran yang mudah tetapi jelas - bahawa tiada anak yang harus dipisahkan daripada ibu bapa yang penyayang, dan tiada pihak berkuasa yang harus mengabaikan undang-undang.
Marina ketika dihubungi berkata: “Saya hanya menyertai kerana sebagai seorang ibu, saya tidak dapat membayangkan tidak dapat melihat anak saya sendiri begitu lama.
“Adalah kejam untuk memisahkan anak itu daripada ibunya,” katanya.
Perarakan esok diadakan bagi membantah kegagalan berulang pihak polis mengembalikan Prasana – anak perempuan Indira – daripada bekas suaminya yang memeluk Islam, Riduan Abdullah, walaupun terdapat pelbagai perintah mahkamah untuk menangkapnya dan menyerahkan kanak-kanak itu kepada ibunya.

Arun sebelum ini berkata peserta perarakan akan bermula dari pusat beli-belah Sogo pada jam 10.30 pagi menuju ke ibu pejabat polis Bukit Aman. Indira kemudian akan menyerahkan ‘teddy bear’ atau patung beruang, kereta sorong dan beberapa permainan milik Prasana sebelum dia dilarikan kepada Ketua Polis Negara Khalid Ismail.
Katanya, perarakan itu tidak akan berakhir sehingga Khalid menemui Indira, sambil menambah bahawa semua tindakan undang-undang terhadap kerajaan dalam kes ini akan dihentikan sebaik sahaja Prasana dikembalikan.
Turut dijangka hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran dan bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim.

Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2013 membatalkan penukaran agama ketiga-tiga kanak-kanak itu, memutuskan ia bercanggah dengan prinsip keadilan semula jadi kerana persetujuan ibu tidak diperoleh.
Mahkamah Tinggi kemudiannya turut memberikan hak penjagaan penuh kepada Indira, namun pada 2014 Mahkamah Rayuan membatalkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Ketua Polis Negara mendapatkan semula Prasana.
Perintah itu memberikan Riduan tempoh seminggu untuk menyerahkan Prasana kepada Indira atau berdepan hukuman penjara. Dia tidak mematuhi perintah tersebut.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan memerintahkan polis menangkap Riduan dan menyatukan semula Prasana dengan ibunya — satu perintah yang sehingga kini masih gagal dilaksanakan.
