Sekumpulan penduduk Kampung Papan, Klang bersama beberapa aktivis berhimpun hari ini di depan pejabat syarikat pemaju, Melati Ehsan Holdings Berhad di ibu negara bagi menuntut tawaran penempatan yang lebih adil susulan perobohan rumah mereka minggu lalu.
Protes yang bermula sekitar jam 10 pagi itu menghimpunkan lebih 30 peserta, termasuk aktivis dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Aksi dan Mandiri.
Perhimpunan berlangsung hampir satu jam dengan dikawal kira-kira 15 anggota polis.
Suasana di lokasi perhimupunan dilihat tegang namun terkawal, dengan penduduk mengangkat sepanduk bertulis “Kerajaan Janji Kosong”, “Kami Mahu Rumah” dan “Tiada Pampasan, Kami Tidak Pindah”.

Laungan “Hidup Rakyat”, “Bagi Rumah Kami” dan “Tolak Pemaju Zalim” kedengaran sepanjang demonstrasi, menggambarkan kemarahan penduduk terhadap tindakan pemaju yang didakwa mengingkari janji kerajaan negeri bahawa rumah berpenghuni tidak akan dirobohkan.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Penduduk Kampung Papan, Thamil Valarasu, 55, berkata sebanyak 27 rumah berpenghuni telah dirobohkan, manakala 44 rumah lagi masih belum disentuh dan sedang menunggu keputusan mahkamah.
“Mereka (pemaju) mahu tunjuk kuasa, mereka aniaya kami,” katanya.
Dia turut menegaskan bahawa penduduk hadir untuk mendapatkan penjelasan terus daripada pihak Melati Ehsan yang didakwa tidak pernah turun padang untuk berunding dengan penduduk.
Menurutnya, ramai penduduk membeli serta membina rumah di atas tanah yang diteroka sejak puluhan tahun lalu.
Justeru, mereka sepatutnya ditawarkan pampasan atau rumah gantian yang setara.
“Itu tempat mereka, tapi tanah saya punya,” katanya.
Timbalan pengerusi persatuan itu, Teoh Ah Guat, 63, pula menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap pemaju kerana merobohkan rumah berpenghuni.
Dia menegaskan penduduk hanya menuntut pampasan dan penempatan semula seperti yang pernah dijanjikan Menteri Besar sebelum ini.
“Kami sedih kerajaan tidak mahu membantu kami. Mana kuasa kerajaan?” katanya.
Perhimpunan hari ini merupakan kesinambungan beberapa siri bantahan terdahulu, termasuk di hadapan bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Shah Alam dan di depan Bank Negara.
Mahkamah Tinggi pada 20 Mac lalu membenarkan permohonan 44 penduduk menggantung perintah pengusiran sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan. Mahkamah dijangka menentukan status 44 rumah itu pada 8 Dis depan.
Pada 23 Okt, kerajaan negeri memaklumkan hanya rumah kosong dan premis perniagaan akan dirobohkan. Namun, pada 27 Okt, penduduk menerima notis baru mengarahkan mereka mengosongkan rumah masing-masing sebelum kerja-kerja perobohan dilakukan.
