Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sebagai peguam, Ambiga malu sistem keadilan gagal bela Indira
Diterbitkan:  Nov 21, 2025 2:44 PM
Dikemaskini: 6:45 AM

Ketika Ambiga Sreenevasan ditanya sama ada dia akan menyertai 'perarakan keadilan' bersama M Indira Gandhi ke Bukit Aman esok, bekas presiden Badan Peguam Malaysia itu menjawab: "Di mana lagi saya akan berada?"

Ambiga memberi jawapan tegas itu sambil merenungkan realiti pahit di Malaysia, yang memerlukan mereka yang kesakitan dan menderita sekadar berharap disembuhkan masa.

“Tetapi bagaimana anda melupakan seorang anak? Yang anda tahu sedang disembunyikan. Yang polis kita (yang merupakan antara yang terbaik) nampaknya tidak dapat temui. Yang berhak membesar bersama ibu dan adik-beradiknya yang penyayang,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebagai seorang peguam, Ambiga berkata dia berasa malu kerana walaupun terdapat perintah dan keputusan mahkamah di peringkat tertinggi, “kita sebagai masyarakat yang bertamadun tidak dapat menemui anak itu dan mengembalikannya”.

“Malah tiada maklumat! Dirampas pada usia 11 bulan, kanak-kanak ini kini berusia 17 tahun, setelah melalui tahun-tahun membesarnya tanpa ibunya. Ya, saya akan berada di sana (pada protes itu).

“Sistem keadilan kita gagal bela nasibnya," tambahnya.

Dalam temu bual baru-baru ini dengan Malaysiakini, Indira mengimbau kembali beberapa kenangan berharga yang disimpannya tentang anak perempuannya yang telah lama hilang, mengakui bahawa hampir mustahil baginya untuk membayangkan anaknya kini merupakan wanita dewasa.

“Walaupun dia berjalan di sebelah saya esok, saya tidak akan mengenali Prasana (Diksa). Maksud saya, tidak dapat membayangkan wajah anak sendiri, ia menyedihkan,” katanya.

Pada perhimpunan esok, yang disifatkan sebagai “rayuan terakhir seorang ibu kepada hati nurani negaranya,” Indira akan menolak kereta sorong bayi anak perempuannya ke arah ibu pejabat polis, dengan niat untuk menyerahkan sendiri teddy bear anak perempuannya kepada Ketua Polis Negara (KPN) - sebagai simbolik harapan untuk keadilan ditegakkan, meski lama tertangguh.

Perjuangan Indira selama 16 tahun bermula apabila bekas suaminya, Riduan Abdullah (dahulunya K. Pathmanathan), secara sepihak telah mengislamkan anak-anak mereka, menculik Prasana, dan menghilangkan diri.

Pada tahun 2013, Mahkamah Tinggi Ipoh membatalkan pengislaman ketiga-tiga kanak-kanak bawah umur itu, memutuskan ia melanggar keadilan semula jadi kerana persetujuan Indira tidak diperolehi. Mahkamah juga memberikan hak penjagaan penuh kepadanya.

Namun, pada 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan KPN untuk mendapatkan semula Prasana. Riduan mengingkari perintah itu, hingga tarikh akhir 6 Jun 2014.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan akhirnya mengarahkan polis untuk menangkap Riduan dan menyatukan semula Prasana dengan ibunya - satu mandat yang masih belum dipenuhi.

Bulan lalu, satu catatan media sosial mencetuskan semula penelitian terhadap pengendalian kes oleh polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) susulan dakwaan bahawa bekas suami Indira masih berada di Malaysia dan telah mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan seperti Budi95 dan Bantuan Keperluan Rahmah (Sara).

Semakan oleh Malaysiakini pada platform Budi95 dan Sara, menggunakan nombor MyKad yang dikaitkan dengan Riduan, mendapati bahawa akaun tersebut telah menggunakan sepenuhnya bantuan tunai Sara RM100 dan hampir 100 liter daripada kuota subsidi bahan api Budi95 300 liter.

Semakan pada portal status perjalanan Jabatan Imigresen menggunakan nombor IC yang sama juga menunjukkan "tiada sekatan" ke atasnya untuk melancong ke luar negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS