Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menolak desakan supaya setiausaha politiknya yang terpalit dalam kontroversi pengeluaran surat sokongan kepada kontraktor yang membida projek pembinaan hospital tahun lalu dipecat.
Menjawab pertanyaan mengenai desakan bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli semalam supaya tindakan sedemikian diambil, Anwar berkata, walaupun dia tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan, namun surat sokongan itu bukan sesuatu arahan.
Katanya surat sokongan berkenaan adalah “kabur” dan kelulusan projek tidak dipengaruhi oleh surat itu kerana pihak berkuasa berkaitan maklum sepenuhnya mengenai prosedur standard.

“Saya faham dari mana datangnya pandangan itu, tetapi kita perlu melihat kepada tahap keseriusan kesalahan. Saya memang tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh beliau (setiausaha politik), tetapi kita perlu bertanya sama ada projek itu benar-benar diberikan berdasarkan suratnya… jawapannya tidak.
“Lihat dulu surat itu. Rafizi mengambil pendekatan agak tegas… saya faham. Kalau mahu konsisten, ramai setiausaha politik, dahulu dan kini, pernah mengeluarkan surat sebegitu.
“Tegur, kita kena tegur. Itu prosesnya. Jangan kerana orang yang kita tidak bersetuju, kita ambil tindakan keras, dan orang yang sehaluan dengan kita pula kita lembutkan. Kita mesti konsisten,” katanya.
Perdana menteri berkata demikian kepada media ketika dalam pesawat menuju Afrika Selatan selepas lawatan rasmi di Addis Ababa, Ethiopia.
Semalam, Rafizi menamakan Shamsul Iskandar Mohamd Akin sebagai pegawai yang menulis surat sokongan untuk enam kontraktor dalam projek pembinaan sebuah hospital tahun lalu.

Bekas menteri ekonomi yang juga bekas timbalan presiden PKR itu berkata, perkara seperti ini bukan kali pertama dan Shamsul Iskandar harus dipecat. Malah, menurutnya, satu laporan harus difailkan dengan SPRM supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan.
Diminta wartawan mengulas desakan supaya SPRM mengadakan siasatan lanjut, Anwar mengulangi bahawa surat itu bukan suatu arahan.
"Surat itu bukan arahan. Kamu dengar orang bercakap tentang rasuah ada satu dua kes, tetapi mereka langsung berdiam diri tentang berbilion ringgit yang dicuri apabila ia melibatkan rakan atau penyumbang mereka.
“Kalau mahu tegas melawan rasuah, bertindaklah terhadap rasuah. Bagi saya, itu lebih serius. Kita biarkan berbilion ringgit diseleweng tetapi tumpu kepada perkara kecil,” katanya sambil menambah bahawa walaupun kes kecil tidak harus dibiarkan.
Malah, katanya ia tidak wajar mengatasi perhatian terhadap kes besar yang melibatkan individu berprofil tinggi.
"Bagi saya, ini lebih serius. Saya tidak ada simpati kepada mereka yang melarikan berbilion.

“Kamu pejam mata pada semua kes besar ini tetapi memperbesarkan isu kecil... betul, ia memang tidak boleh dibiarkan, tetapi ia tidak patut disamakan dengan kes berbilion yang dicuri," katanya.
Ditanya sama ada amaran keras memadai, atu tidak perdana menteri berkata dia mempunyai kuasa untuk memutuskan tindakan tatatertib dalaman.
“Saya ada kuasa. Saya tidak perlu diarah oleh sesiapa, terutama mereka yang tidak konsisten dan tidak menonjolkan kes rasuah besar melibatkan VVIP.
“Kejar ikan bilis mungkin buat kita popular, tetapi tidak memberi impak yang diharapkan,” katanya. lagi.
