Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meminta Jabatan Peguam Negara supaya menggunakan budi bicara untuk tidak mendakwa sekumpulan pelarian yang terselamat dalam tragedi bot karam berhampiran Langkawi baru-baru ini.
Dalam kenyataan hari ini, Suhakam menyuarakan rasa kecewa apabila dimaklumkan pelarian tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah.
"Suhakam menegaskan bahawa mereka tidak boleh dilayan sebagai penjenayah kerana mereka adalah individu tanpa kerakyatan serta mangsa kepada penganiayaan, pengusiran dan eksploitasi yang berlarutan sekian lama.
"Sebahagian besar mangsa yang terselamat dipercayai merupakan etnik Rohingya, komuniti yang telah dinafikan kewarganegaraan selama beberapa dekad akibat pengecualian sistematik dan penafian hak di tempat asal mereka.
“Akibatnya, mereka terhalang daripada menikmati hak asas dan perlindungan undang-undang, memaksa ramai untuk melarikan diri demi keselamatan," kata Suhaham.
Terdahulu, polis mengesahkan seramai 15 mangsa bot karam di perairan sempadan Malaysia–Thailand dekat Langkawi pada 8 November disahkan meninggal dunia akibat lemas.
Manakala punca kematian 14 lagi mangsa belum dapat dipastikan sehingga keputusan analisis makmal diperolehi.
11 mangsa yang terselamat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Langkawi pada Rabu lalu atas kesalahan memasuki negara tanpa dokumen sah, namun kes terpaksa ditangguhkan selepas mereka tidak memahami pertuduhan yang dibacakan. Mahkamah menetapkan 21 Disember ini sebagai sebutan semula kes bagi membolehkan jurubahasa disediakan.
Mengulas lanjut, Suhakam berkata tidak adil untuk menghukum mereka sebagai penjenayah kerana ia mengetepikan masalah yang sebenar, termasuk pelanggaran hak asasi, yang memaksa mereka bergadai nyawa untuk melarikan diri.
"Suhakaman juga menyeru AGC, sebagai pelindung hak dan keadilan masyarakat, agar menggunakan budi bicara dalam pendakwaan, berdasarkan pertimbangan kemanusiaan serta tanggungjawab moral dan undang-undang Malaysia,” katanya.
Suhakam menggesa pertuduhan terhadap mereka ditarik balik agar mereka dapat diberikan perlindungan dan bantuan kemanusiaan.
Ia juga mencerminkan komitmen negara terhadap keadilan, kesaksamaan dan penghormatan terhadap maruah manusia, kata Suhakam, sambil menggesa pihak berkuasa agar tegas dalam membanteras rangkaian pemerdagangan manusia.
