Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatatkan keuntungan bersih tinggi sebanyak RM2.62 bilion bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2025, berbanding RM2.53 bilion pada suku yang sama sebelumnya.
Bagaimanapun, perolehan merosot sedikit kepada RM16.60 bilion daripada RM16.69 bilion sebelumnya, kata Maybank dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, keuntungan bersih Maybank meningkat kepada RM7.83 bilion daripada RM7.55 bilion, manakala perolehan menyusut kepada RM50.56 bilion daripada RM52.21 bilion sebelumnya.
"Keuntungan bersih RM7.83 bilion bagi tempoh sembilan bulan, iaitu peningkatan sebanyak RM281.9 juta, atau 3.7 peratus, berbanding tempoh yang sama sebelumnya, disokong terutamanya oleh prestasi pendapatan berasaskan dana bersih yang stabil, pendapatan bukan faedah yang lebih tinggi dan disiplin risiko berhemat merentasi rangkaian serantau bank," katanya.
Menurut Maybank, pendapatan operasi bersih meningkat 3.2 peratus kepada RM22.86 bilion, disokong oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang meningkat 1.6 peratus kepada RM14.90 bilion dan pendapatan bukan faedah yang naik 6.3 peratus kepada RM7.96 bilion.
“Margin Faedah Bersih bagi tempoh sembilan bulan turun sedikit 1 mata asas kepada 2.03 peratus berbanding tahun sebelumnya. Namun demikian, kumpulan berjaya meningkatkan margin faedah bersih suku ketiga kepada 2.02 peratus, menokok 2 mata asas berbanding suku kedua daripada mudah tunai proaktif dan pengurusan kos pendanaan,” katanya.
Maybank berkata pendapatan faedah bersih kumpulan dan pendapatan perbankan Islam bagi tempoh sembilan bulan meningkat sebanyak RM246.1 juta, atau 1.6 peratus, kepada RM16.03 bilion berbanding tempoh yang sama sebelumnya.
Hasil perkhidmatan insurans/takaful kumpulan meningkat kepada RM1.17 bilion, dan pendapatan operasi menokok kepada RM7.52 bilion.
“Pendapatan operasi RM7.52 bilion sepanjang tempoh sembilan bulan sebahagian besarnya disumbang oleh keuntungan direalisasikan lebih tinggi bagi derivatif sebanyak RM814.4 juta dan keuntungan lebih tinggi daripada pelupusan pelaburan kewangan pada nilai saksama melalui pendapatan komprehensif lain sebanyak RM282.6 juta.
"Bagaimanapun, peningkatan ini diimbangi oleh keuntungan pasaran tidak direalisasikan yang lebih rendah bagi penilaian semula pelaburan kewangan pada nilai saksama melalui untung atau rugi sebanyak RM416.8 juta dan kerugian pasaran tidak direalisasikan atas penilaian semula liabiliti kewangan pada nilai saksama melalui untung atau rugi sebanyak RM244.6 juta untuk tempoh sembilan bulan berbanding keuntungan tidak direalisasikan sebanyak RM103.1 juta untuk tempohyang sama sebelumnya," katanya.
Maybank berkata perbelanjaan overhed kumpulan bagi tempoh sembilan bulan mencatatkan peningkatan sebanyak RM408.1 juta, atau 3.8 peratus, kepada RM11.18 bilion, berbanding tempoh yang sama sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan kakitangan, perbelanjaan pentadbiran dan am, kos penubuhan dan perbelanjaan pemasaran.
“Elaun bersih kumpulan untuk kerugian rosot nilai atas pinjaman, pendahuluan, pembiayaan dan hutang lain meningkat sebanyak RM672.5 juta, atau 54.9 peratus, kepada RM553.2 juta berbanding tempoh yang sama sebelumnya,berikutan penstrukturan semula peminjam korporat dan pemulihan portfolio bukan runcit.
"Elaun bersih kumpulan untuk kerugian rosot nilai atas pelaburan kewangan meningkat kepada RM671.8 juta berbanding tempoh sembilan bulan yang sama sebelumnya," katanya.
Mengulas mengenai keputusan itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulaln Datuk Seri Khairussaleh Ramli berkata Maybank menunjukkan prestasi yang stabil bagi suku tersebut walaupun terdapat ketidaktentuan dan cabaran yang berterusan dalam landskap global.
Beliau berkata kumpulan mengekalkan pendekatan berdisiplin dalam menguruskan risiko mudah tunai, pembiayaan dan risiko kredit, disamping terus memberi perkhidmatan kepada pelanggan merentasi semua segmen.
“Kualiti aset yang mampan mencerminkan pengurusan risiko kumpulan yang berhemat, manakala pertumbuhan akaun semasa dan akaun simpanan yang kukuh dan pemulihan margin faedah bersih menekankan daya tarikan positif strategi deposit dan pendanaannya,” katanya.
Khairussaleh berkata ketika Maybank mengakhiri fasa akhir M25+, tumpuan terus kekal untuk mengukuhkan penambahbaikan struktur yang telah dilaksanakan terutamanya dalam produktiviti, kecekapan modal dan pengalaman pelanggan.
“Asas ini akan menyediakan landasan kukuh seiring peralihan kami kepada pusingan strategik seterusnya, yang mana kami akan terus membina kedudukan kukuh dalam perbankan Islam dan berasaskan nilai, pengurusan kekayaan dan perdagangan; meningkatkan daya saing bagi memacu pertumbuhan mampan dan inklusif, sekali gus mengukuhkan kedudukan kami sebagai kumpulan perkhidmatan kewangan serantau yang berlandaskan tujuan,” katanya.
- Bernama
