Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beliawanis MCA bimbang kehamilan remaja melonjak
Diterbitkan:  Nov 21, 2025 5:37 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Beliawanis MCA menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes kehamilan remaja di negara ini, dengan mendakwa Malaysia masih gagal melindungi remaja serta memberikan pendidikan seksualiti dan keselamatan diri yang mencukupi.

Ketua sayap MCA itu, Ivone Low Yi Wen berkata antara puncanya sikap masyarakat yang masih menganggap pendidikan seksualiti sebagai pantang-larang untuk dibincangkan.

“Isu kehamilan remaja tidak akan selesai selagi masyarakat terus menganggap pendidikan seksualiti sebagai perkara yang memalukan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Ivone merujuk kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga (KPWKM), Nancy Shukri, yang memaklumkan 41,842 remaja perempuan berusia 19 tahun ke bawah dikesan hamil antara 2020 hingga 2024.

Daripada jumlah itu, 16,951 kes melibatkan remaja belum berkahwin, angka yang menurut Ivone menunjukkan betapa besarnya cabaran dalam pendidikan seksualiti negara.

Sementara itu, Ivone turut menegaskan ramai remaja hamil berdepan ketakutan, stigma dan tekanan emosi kerana kurangnya sokongan keluarga.

Selain kekurangan pendidikan, dia juga berkata faktor sosial dan ekonomi yang menambah risiko kehamilan tidak dirancang.

“Kemiskinan, keciciran sekolah dan peluang pekerjaan yang terhad menjadikan remaja lebih terdedah kepada situasi yang tidak selamat,” katanya.

Ivone menekankan perlunya sokongan praktikal seperti kaunseling, akses kepada baby hatch, dan bantuan kepada keluarga bagi mengelakkan kejadian pembuangan bayi. Katanya, usaha pencegahan tidak boleh dibebankan kepada remaja semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama kerajaan, sekolah, keluarga dan masyarakat.

“Remaja memerlukan bimbingan, bukan hukuman. Kita tidak boleh mengharapkan mereka membuat keputusan selamat jika orang dewasa sendiri enggan berbincang secara terbuka,” katanya sambil menambah bahawa hanya sikap terbuka dan sokongan berterusan mampu melindungi remaja daripada kehamilan tidak dirancang.

Semalam di parlimen, Nancy menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki, mengenai jumlah kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja sejak 2020 dan langkah mengatasi isu tersebut.

Menurutnya, KPWKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk pemerkasaan pendidikan kesihatan reproduktif, kaunseling dan sokongan komuniti namun data terkini menunjukkan perlunya pendekatan yang lebih menyeluruh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS