Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) memfailkan permohonan untuk menghentikan inkues Zara Qairina Mahathir yang sedang berjalan kerana mereka mendakwa bahawa inkues itu diadakan mengikut Kanun Tatacara Jenayah dan bukannya Ordinan Inkues negeri 1959.
Dalam satu kenyataan hari ini, presiden NGO Sabah itu, Dr Mohammad Jeffry Rosman, berkata prosiding itu, memandangkan ia tidak dijalankan mengikut Ordinan negeri, telah melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Susulan itu, mereka memohon perintah Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keseluruhan prosiding inkues, mengisytiharkan inkues mesti dijalankan di bawah Ordinan Inkues negeri dan menegakkan hak perundangan dan perlembagaan Sabah di bawah MA63.
Tambahnya, permohonan itu difailkan untuk melindungi integriti sistem perundangan negeri dan untuk memastikan inkues ke atas kematian Zara dijalankan secara sah, telus dan mengikut undang-undang Sabah.
“Sabah mempunyai Ordinan sendiri, iaitu perundangan negeri yang sah dan boleh dikuatkuasakan yang secara khusus mengawal cara inkues mesti dijalankan (di negeri ini).
“Namun, pihak berkuasa menjalankan inkues di bawah Kanun Tatacara Jenayah, yang merupakan undang-undang persekutuan umum. Ini menyalahi undang-undang, ultra vires dan melebihi bidang kuasa.
“Ordinan Inkues 1959 mengandungi perlindungan penting, termasuk keperluan bahawa koroner boleh memanggil juri, dengan sekurang-kurangnya separuh daripada ahlinya daripada kaum yang sama dengan si mati (yang) tidak pernah dipertimbangkan, (menjadikan) prosiding tidak wajar dari segi prosedur,” katanya.
Dia menambah bahawa apabila undang-undang negeri yang khusus wujud, undang-undang itu mesti diguna pakai.
Jika tidak, katanya, ia adalah kesilapan undang-undang yang serius yang menjejaskan hak keluarga si mati dan jangkaan orang ramai terhadap keadilan.
Zara disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai.
Dia telah dimasukkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah pada jam 4 pagi, 16 Julai.
Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes itu sebagai "kematian mengejut" dan tidak menjalankan bedah siasat selepas ibunya menandatangani surat persetujuan yang menolaknya, yang kemudian menjadi pertikaian kerana melanggar protokol polis.
Pada bulan Ogos, Jabatan Peguam Negara mengumumkan inkues terhadap kematian Zara dan kemudian, penggalian mayatnya untuk bedah siasat. Prosiding inkues kemudiannya bermula pada 3 September.
Pada 20 Ogos, lima remaja perempuan telah didakwa di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, di bawah Seksyen 507C(1) dan 34 Kanun Keseksaan, kerana mengeluarkan kata-kata ugutan, kesat atau menghina terhadap Zara.
