Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO gesa P Pinang bawa cadangan tubuhkan sekolah menengah Tamil pada KPM

Badan bukan kerajaan (NGO) Tamil, Malaysia Hindhudharma Maamandram (Maamandram) menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Adun Bagan Dalam Kumaran Krishnan, untuk penubuhan sekolah menengah Tamil pertama di Malaysia.

Presidennya, Rishikumar Vadivelu, dalam surat sokongan yang dihantar kepada Kumaran berkata cadangan itu bukan sekadar projek pendidikan, tetapi “satu langkah bersejarah” yang akan mewujudkan sekolah menengah Tamil pertama dan satu-satunya di negara ini.

Justeru, dia menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang mempercepatkan proses membawa permohonan itu ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan seterusnya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Isu ini bukan baharu, tetapi sudah terlalu lama tertangguh,” katanya dalam surat sokongan yang dikongsi kepada media dan turut dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Dia menjelaskan ketiadaan sekolah menengah Tamil menyebabkan ribuan pelajar lepasan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) kehilangan kesinambungan pembelajaran dalam bahasa ibunda, selain menyumbang kepada jurang kefahaman dan hakisan warisan budaya.

Menurutnya, komuniti India wajar diberi peluang yang setara seperti komuniti Cina yang memiliki Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC).

Ketika dihubungi Malaysiakini, Rishikumar berkata bahawa cadangan itu telah dihantar oleh pemimpin DAP dan beberapa parti politik lain pada 2013, namun belum mendapat keputusan muktamad daripada kerajaan negeri atau KPM.

Dia menambah bahawa lokasi sekolah itu dirancang dibina di kawasan Bagan Dalam, tetapi tapak rasmi belum dikenal pasti.

“Kerajaan negeri berhasrat menyediakan tanah jika projek ini diteruskan,” katanya.

Rishikumar berkata sekolah berkenaan dicadangkan untuk menampung 300 hingga 500 pelajar dan menawarkan pendidikan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.

Menurutnya, silibus yang digunakan adalah Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KPM, tetapi medium pengajaran adalah Bahasa Tamil, sama seperti model SMJKC yang menggunakan Bahasa Mandarin.

“Kami percaya impian ini boleh direalisasikan dengan sokongan kerajaan negeri dan persekutuan,” tambahnya lagi.

Kumaran membangkitkan semula cadangan penubuhan sekolah menengah Tamil pertama di Malaysia ketika sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang 19 Nov lalu.

Kumaran berkata Pulau Pinang merupakan antara negeri dengan bilangan SJKT tertinggi namun ketiadaan sekolah menengah Tamil menyebabkan pelajar perlu melalui perubahan bahasa pengantar yang drastik.

"Jurang ini memberi kesan kepada prestasi akademik, penguasaan bahasa, subjek Sains dan Matematik, serta meningkatkan risiko keciciran dalam kalangan keluarga B40.

"Oleh itu penubuhan sekolah menengah Tamil bukan lagi sekadar aspirasi tapi merupakan satu keperluan mendesak demi memastikan kesaksamaan akses pendidikan menengah yang lebih menyeluruh untuk pelajar Tamil," katanya sambil menambah bahawa Pulau Pinang merupakan negeri paling strategik memulakan langkah itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS