Jurugambar-jurugambar bebas memohon Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam mempertimbangkan semula larangan mengambil gambar di kawasan universiti sempena istiadat konvokesyen.
Mereka berkata notis larangan “mengejut” itu antaranya menyebabkan kesukaran kepada pelanggan mereka yang menempah perkhidmatan lebih awal.
Firdaus, 25, yang mempunyai enam tahun pengalaman berkata, dia hanya mengetahui larangan itu selepas dipanggil oleh seorang staf UiTM ketika sedang menjalankan tugas.
Justeru, katanya, ia menyebabkan graduan dan ibu bapa kelam-kabut mencari lokasi alternatif.
“Saya hormat keputusan UiTM, cuma saya simpati dengan ibu bapa yang datang dari jauh,” katanya.
Larangan itu ditampal di beberapa lokasi di UiTM, khususnya Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), tempat istiadat itu berlangsung.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas UiTM berkaitan permohonan itu.
Sementara itu, Ariz, 30, pula berkata sepanjang tujuh tahun merakam konvokesyen UiTM, ini kali pertama timbul larangan seperti itu.
Dia mendakwa petugas mengarahkan jurugambar menghentikan kerja dan berpindah ke lokasi lain.
“Saya dah shoot (ambil gambar di) UiTM sejak tahun pertama mereka buat dekat DATC).
“Sebelum-sebelum ni tak ada isu apa-apa pun,” katanya.

Sementara itu, Amrin, 24, jurugambar dengan empat tahun pengalaman, meminta UiTM mencontohi universiti lain yang tidak mengenakan larangan sebegitu.
“Konvokesyen universiti lain tak ada pula isu seperti ini,” katanya.
Istiadat konvokesyen UiTM bermula semalam sehingga 9 Disember bagi meraikan detik bersejarah bagi setiap graduan yang menamatkan pengajian.
