Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu tarif AS boleh diselesaikan melalui perbincangan berterusan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata berdasarkan pengalaman Malaysia, isu tarif dengan AS boleh diselesaikan melalui perbincangan berterusan.

Sebagai sebahagian daripada strategi Malaysia untuk mempelbagaikan ekonomi dan hubungan perdagangannya – termasuk memperkukuh hubungan dengan AS dan China – Anwar berkata, dia menjemput Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa dan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva sebagai tetamu pada Sidang Kemuncak Asean pada Okt lalu.

“Dan juga rakan baik anda, Presiden Donald Trump, serta perbincangan telah menjana hasil,” katanya berseloroh pada Forum Perniagaan Bersama Peneraju Industri Afrika Selatan di Johannesburg, sekali gus menarik perhatian peserta kerana Afrika Selatan antara negara yang dikenakan tarif tinggi oleh Washington.

Sebanyak 200 syarikat menyertai forum itu hari ini.

AS mengenakan tarif sepihak sebanyak 30 peratus ke atas kebanyakan barangan Afrika Selatan dan ia berkuat kuasa sejak 7 Ogos lalu.

Anwar yang berada di Johannesburg untuk Sidang Kemuncak Pemimpin G20 sebagai tetamu berkata: “Saya telah membuatkan beliau (Trump) menari dan rehat seketika serta menyelesaikan masalah (untuk Malaysia).”

Tarif timbal balas untuk Malaysia dikurangkan daripada 24 peratus kepada 19 peratus baru-baru ini.

Anwar berkata dalam pertemuan dua hala dengan Ramaphosa, dia telah berkongsi pandangan bahawa isu tarif boleh diselesaikan.

“Saya menjelaskan kepada Presiden Ramaphosa bahawa mereka perlu terus berbincang. Saya memberitahu presiden supaya jangan bimbang.

“Saya memberitahu, jemput beliau (Trump) datang ke sini seperti yang saya lakukan, buat beliau menari dan rehat. Dan selesaikan isu itu,” katanya.

Anwar, yang juga menteri kewangan berkata akhirnya ia bergantung pada perdagangan, yang sama penting bagi AS dan Malaysia serta Afrika Selatan.

“Saya percaya ini boleh diselesaikan. Begitulah cara saya mengatasinya. Saya seorang yang optimis,” katanya sambil menambah, apa yang penting ialah keperluan untuk kekal fokus dan jelas dari segi dasar ekonomi serta melaksanakannya dengan cekap.

AS yang merupakan pengerusi G20 seterusnya telah mengubah pendirian sebelum ini untuk tidak menghadiri sidang kemuncak tersebut.

“Kami menerima notis daripada AS mengenai penyertaan dalam Sidang Kemuncak G20. Perbincangan sedang dijalankan,” umum Ramaphosa di platform media sosialnya semalam.

Bagaimanapun, tiada pengesahan sama ada Trump sendiri akan hadir atau sebaliknya hanya menghantar wakil.

Anggota G20 ialah Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Turkiye, United Kingdom, AS, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.

G20 pada tahun ini pertama kali diadakan di benua Afrika.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS