Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Krisis Ukraine: Eropah tolak pelan damai ditaja AS
Diterbitkan:  Nov 22, 2025 9:44 AM
Dikemaskini: 1:44 AM

GLOBAL | Jerman, Perancis dan Britain mengalu-alukan usaha Washington menamatkan perang di Ukraine tetapi menegaskan bahawa sebarang persetujuan yang memberi kesan kepada Eropah mesti melibatkan rakan kongsinya.

Ketetapan itu sekali gus menonjolkan perbezaan ketara dengan pelan damai 28 perkara ditaja Washington, lapor Deutsche Presse-Agentur (dpa).

Dalam panggilan bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, semalam Perdana Menteri Britain Keir Starmer; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; dan Canselor Jerman, Friedrich Merz; memaklumi usaha pentadbiran Donald Trump untuk menjadi perantara menamatkan konflik itu.

Jurucakap kerajaan Jerman berkata, Zelensky, Starmer dan Macron menegaskan bahawa “mana-mana perjanjian yang memberi kesan kepada negara Eropah, Kesatuan Eropah atau Nato (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) perlu mendapat kelulusan rakan kongsi Eropah atau konsensus dalam kalangan sekutu.”

Keempat-empat pemimpin terbabit juga berikrar untuk terus mencapai matlamat melindungi “kepentingan penting Eropah dan Ukraine” dalam jangka panjang, termasuk tuntutan untuk genjatan senjata di sepanjang garis hadapan semasa sebagai prasyarat rundingan damai.

Mereka berkata angkatan tentera Ukraine mesti kekal berkeupayaan mempertahankan kedaulatan negara itu dengan berkesan.

Pendekatan tersebut bercanggah dengan terma dalam pelan 28 perkara tajaan AS yang bocor secara meluas awal minggu ini.

Draf berkenaan – yang didakwa Moscow tidak dirundingkan bersama mereka – merangkumi banyak tuntutan Rusia termasuk konsesi wilayah dan larangan ke atas Ukraine menyertai Nato.

Pelan itu menggesa Ukraine menarik balik tenteranya dari bahagian wilayah Luhansk dan Donetsk yang kini berada di bawah kawalan Kyiv.

Ukraine, yang secara konsisten menolak konsesi wilayah, bersama sekutu Eropahnya, telah lama menuntut genjatan senjata di sepanjang garis hadapan semasa sebagai prasyarat kepada penyelesaian damai muktamad.

Ia bagaimanapun ditolak Moscow.

- Bernama/dpa


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS