Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seminggu sebelum hari mengundi, PN melancarkan manifesto 12 tonggak dengan menampilkan parti itu sebagai gabungan yang mahu merombak tadbir urus negeri, mempertahankan kekayaan Sabah dan mengetatkan pengawasan terhadap sumber aslinya.

Teras utama manifesto itu ialah Dana Masa Depan Sabah berjumlah RM10 bilion, yang menurut Pengerusi PN Muhyiddin Yassin akan menjamin pulangan jangka panjang daripada sumber negeri.

“Kita mahu pastikan kekayaan Sabah dikongsi hari ini dan dilindungi untuk generasi akan datang,” kata Muhyiddin kepada penyokong semasa pelancaran manifesto PN bertemakan Kasi Bagus Sabah.

Pada 17 Nov lalu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) semasa pelancaran manifestonya turut berjanji menubuhkan dana negeri, selain mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal.

Sekitar 1,000 orang menghadiri pelancaran manifesto PN di Putatan, dengan Ketua Bersatu Sabah Ronald Kiandee dan Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan antara yang hadir.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengulangi janji PN untuk menegakkan tuntutan 40 peratus hasil persekutuan untuk Sabah, dengan menyifatkannya sebagai hak perlembagaan yang “mesti ditunaikan, bukan diabaikan”.

Satu lagi elemen utama tawaran PN yang didedahkan semalam ialah pelan pembersihan menyeluruh sektor perlombongan Sabah, selepas berbulan-bulan ia dibayangi dakwaan skandal lesen cari gali.

Muhyiddin berkata rakyat Sabah “belum menikmati sepenuhnya manfaat daripada simpanan mineral yang kaya”, sambil merujuk video tular yang didakwa menunjukkan rasuah membabitkan beberapa pemimpin Sabah yang menimbulkan kebimbangan tentang cara sektor itu diurus.

Mahu sistem adi, cekap

Bagi menangani perkara itu Muhyiddin berkata PN mencadangkan penubuhan kementerian baru khusus untuk mineral, satu kertas putih untuk mendedahkan keputusan-keputusan lampau, dan penyusunan semula agensi yang terlibat dalam pengurusan mineral.

Muhyiddin berkata matlamatnya ialah satu sistem yang “telus, cekap dan bertanggungjawab”.

Manifesto itu juga menjanjikan tetapan semula (reset) infrastruktur bernilai RM3 bilion untuk menyelesaikan isu bekalan air, keadaan jalan raya yang teruk dan ketidakstabilan elektrik, selain pelan tebatan banjir berjumlah RM500 juta.

PN menyasar menjana momentum ekonomi baru dengan menggandakan kedatangan pelancong, mengukuhkan sektor pertanian dan perikanan, dan mewujudkan 80,000 pekerjaan menjelang 2030.

Dalam aspek perlindungan sosial, PN menawarkan RM4,800 setahun bagi keluarga miskin, perlindungan insurans percuma sehingga RM15,000, dan dana perumahan RM1 bilion untuk skim sewa-beli dan rumah kos rendah untuk golongan berpendapatan rendah.

“Kita mahu sistem yang adil, cekap dan bersih, di mana tidak ada satu pun keluarga yang tercicir,” kata Muhyiddin.

Keselamatan kekal sebagai tonggak penting, dengan PN menuntut penyelarasan lebih ketat dengan agensi persekutuan, pemantauan yang dipertingkat, dan tindakan lebih tegas terhadap ancaman rentas sempadan.

Bercakap kepada wartawan selepas pelancaran, Muhyiddin mengulas kebimbangan bahawa sebahagian janji PN berada di bawah bidang kuasa persekutuan seperti pendidikan, keselamatan dan kesihatan.

Dia berkata walau apa pun, kerajaan negeri tetap ada tanggungjawab terhadap perkara-perkara tersebut.

“Sebahagian tanggungjawab adalah persekutuan dan sebahagian lagi negeri, tetapi bila menyentuh keselamatan dan kebajikan rakyat Sabah, kedua-dua kerajaan ada peranan.

“Walaupun sesuatu perkara itu di bawah persekutuan, kerajaan negeri tetap perlu mendesak, berunding dan pastikan sumber yang diperlukan disalurkan.

“Asasnya ialah kerjasama. Kita kenal pasti masalah yang rakyat Sabah hadapi, dan kita mahu pastikan mereka dilindungi,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS